suria

Pakar Kardiologi Calon SUPP Bagi Kerusi Pending Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak

KUCHING: Seorang pakar kardiologi terkemuka, Profesor Dr Sim Kui Hian, dinamakan sebagai calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi kerusi Pending dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ketika menggulung ucapannya pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching, di sini Sabtu, berkata Dr Sim, 46, adalah salah seorang muka baru daripada BN dalam pilihan raya negeri itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan, yang juga Presiden SUPP mengesahkan bahawa Dr Sim akan bertanding bagi kerusi Pending, satu daripada kerusi yang SUPP kalah dalam pilihan raya negeri 2006.

"SUPP sentiasa memilih calon terbaik dan paling bijak dalam mana-mana pilihan raya. Sebagai contoh, bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr Wong Soon Kai, seorang doktor yang terkenal dan terkemuka, menyertai politik semasa beliau berada di kemuncak kerjayanya.

"Ketua Menteri telah memberi lampu hijau bahawa Dr Sim adalah calon bagi kerusi Pending," katanya kepada pemberita di lobi BCCK di sini.

Dr Sim, ialah anak lelaki bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Sim Kheng Hong.

Sementara itu, Dr Chan berkata Dr Sim, yang mengetuai Jabatan Kardiologi dan Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan, perlu melepaskan jawatannya untuk bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Dr Sim juga seorang profesor adjung di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak serta menjadi felow sekurang-kurangnya 10 institusi perubatan terkemuka di seluruh dunia. - BERNAMA

Artikel Lain