suria

Orang Ramai Boleh Minta Lihat Kad Kuasa Polis - KP Selangor

SHAH ALAM: Orang ramai berhak untuk melihat kad kuasa anggota polis yang mahu menyoal mereka, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Beliau berkata langkah itu dibenarkan di bawah undang-undang bagi mengelakkan orang ramai daripada ditipu oleh pihak yang menyamar sebagai anggota polis.

"Penjenayah kini menggunakan pelbagai cara dan taktik untuk menipu orang ramai termasuk menyamar sebagai anggota polis. Oleh itu orang ramai boleh meminta ditunjukkan kad kuasa polis sekiranya mereka mengesyaki sesuatu," katanya.

Beliau juga berkata anggota polis sebenar mudah dikenal kerana mereka berpakaian seragam yang kemas berbanding penyamar.

Beliau mengulas mengenai penahanan empat individu serta dua rakan mereka Selasa lalu kerana merompak dan merogol seorang wanita di Klang dengan menyamar sebagai pegawai polis.

Salah seorang daripada individu terbabit dikatakan anggota Rela yang telah memberikan gari tangan kepada individu terbabit.

Pengarah Rela Selangor, Brig Jen Khairi Mohd Alwee memberitahu anggota Rela selalunya tidak dibekalkan dengan gari tetapi sekadar kayu seperti cota. - BERNAMA

Artikel Lain