suria

Kerajaan Akan Ambil Tindakan Tegas - Hishammudddin

TEMERLOH: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak jika tindakan menghasut rakyat untuk menggulingkan kerajaan berada pada tahap serius.

Beliau berkata bagi membendung tindakan itu, kerajaan akan menggunakan akta sedia ada termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), jika perlu.

"Gerakan-gerakan seperti ini memang wujud tetapi saya dimaklumkan tak serius kerana tujuan mereka, matlamat mereka (hanya) bersandarkan kepada politik nak menangguk di air keruh, nak ambil kesempatan apa yang berlaku di Timur Tengah.

"Masyarakat di sini nampak bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) memahami (perubahan) landskap baru ini dan tahu bahawa kita kena berubah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup polis di Markas Taktikal Polis (Martek) di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran supaya pembangkang jangan bermain dengan menghasut dan memprovokasi rakyat menggulingkan kerajaan seperti yang berlaku di negara Asia Barat.

Hishammuddin berkata polis akan terus memantau perkara itu dan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan. - BERNAMA

Artikel Lain