suria

Kemesraan Hubungan Malaysia-Australia Terpamer Dalam Lawatan Najib

MELBOURNE: Suasana mesra begitu dirasai apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap tentang hubungan Malaysia-Australia berikutan lawatan rasmi tiga hari beliau ke negara ini, yang berakhir Jumaat.

Bercakap pada majlis jamuan tengah hari yang dianjurkan Perdana Menteri Australia Julia Gillard, Najib melahirkan kegembiraan beliau dengan berkata jadual kunjungan beliau berjalan lancar dan membuahkan hasil yang diharapkan.

"Sebagai seseorang yang pernah menjadi tuan rumah kepada pelbagai orang, sudah tentulah saya mengharapkan segalanya berjalan dengan baik, termasuk keadaan cuaca. Dan nampaknya, cuaca juga baik hari ini," kata beliau pada majlis itu yang diadakan Khamis lepas.

Walaupun cuaca Australia agak sejuk berbanding cuaca panas tropika dan lembap di Malaysia, namun suhu hubungan diplomatik antara kedua-dua negara bolehlah dianggap begitu baik.

"Ada suasana kesungguhan untuk merapatkan lagi hubungan," kata Najib sambil menyifatkan Australia sebagai rakan dan mempelawa negara ini menyertai pelan transformasi Malaysia untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

Najib memberitahu tetamu pada majlis itu bahawa Malaysia sedang melaksanakan proses transformsi.

"Kami guna perkataan transformasi; transformasi kini menjadi "buzzword". Kami yakin dapat melakukannya dengan sokongan rakan kami seperti Australia. Kami perlukan pelaburan asing, kami perlukan bakat, pendidikan, hubungan rakyat dengan rakyat, untuk mentransformasikan Malaysia," katanya.

Najib juga berkata beliau kagum dengan kemampuan kerajaan Australia serta "semangat waja dan ketabahan rakyatnya" dalam menghadapi banjir besar yang melanda negara ini sedikit masa dahulu.

Gillard pula menyuarakan kata-kata pujian terhadap Najib dan menyifatkan beliau sebagai tokoh yang boleh dijadikan teladan dalam memerangi gerakan pelampau dan menjunjung nilai-nilai keIslaman.

"Perdana Menteri yang ada barsama saya sekarang ini adalah rakan Australia dan seorang pemimpin di rantau ini," katanya ketika kedua-dua mereka berdiri di rostum sebelum mengadakan sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala pada Khamis.

Gillard berkata Najib melakukan lawatan ke Australia bagi memenuhi undangan beliau untuk membalas lawatannya ke Malaysia tahun lepas dan kunjungan rakan sejawatannya itu mencatat satu lagi detik penting dalam hubungan yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

Pada mesyuarat itu, Najib dan Gillard sependapat bahawa hubungan Malaysia-Australia kini merangkumi lebih banyak bidang dan lebih kukuh berbanding sebelumnya.

Mereka juga bersetuju bahawa hubungan akrab antara rakyat kedua-dua negara menjadi asas kepada pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia.

Pelbagai isu dibincangkan pada mesyuarat berkenaan, termasuk kerjasama ekonomi, jenayah merentasi negara dan pendidikan.

Antara kejayaan paling besar yang dicapai hasil kunjungan Najib ialah komitmen yang diberi oleh kedua-dua pemimpin untuk berusaha memuktamadkan dalam masa setahun rundingan yang telah berlanjutan sejak sekian lama mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Australia.

Najib mencadangkan agar rundingan tentang perkara itu diselesaikan dengan cepat dan perkara ini dipersetujui Gillard apabila berkata "ia suatu idea yang baik".

"Kami sependapat bahawa satu tempoh masa perlu ditetapkan," kata Najib. Malaysia dan Australia memulakan rundingan itu pada 2005.

Satu lagi perkara penting yang terlakar sempena lawatan Najib ini ialah penegasan beliau bahawa Malaysia tidak akan sekali-kali membenarkan buminya dijadikan tempat persinggahan bagi kegiatan penyeludupan manusia iaitu antara perkara yang menjadi isu panas di Australia.

Gillard berkata beliau mengalu-alukan langkah Malaysia meminda Akta Pencegahan Penyeludupan Orang dan Pencegahan Penyeludupan Pendatang 2007 yang mengklasifikasikan perbuatan menyeludup manusia sebagai perbuatan jenayah. - BERNAMA

Artikel Lain