suria

Hutang: Tujuh Kakitangan Kerajaan Di Terengganu Diisytihar Muflis

KUALA TERENGGANU: Tujuh kakitangan kerajaan Terengganu diisytihar muflis apabila tidak mampu membayar hutang manakala dua kakitangan telah diberhentikan kerana didapati bersalah oleh mahkamah sepanjang tahun lepas.

Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mazlan Ngah berkata dua daripada tujuh kakitangan yang diisytihar muflis itu adalah kakitangan kumpulan A yang menjadi penjamin dan peminjamnya pula tidak mampu membayar balik pinjaman.

"Sebab itu kita nasihatkan kakitangan kerajaan supaya berhati-hati untuk menjadi penjamin. Biar penjamin betul-betul kenal rapat dengan peminjam, jangan jadi penjamin sembarangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Hari Keluarga Wisma Darul Iman yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di sini, Sabtu.

Bagaimanapun Mazlan berkata mereka yang diiystiharkan muflis itu tidak dibuang kerja, sebaliknya diberi tugas yang tidak berkaitan dengan urusan kewangan.

Katanya Terengganu mempunyai kira-kira 11,000 kakitangan awam yang secara keseluruhannya, tidak menghadapi masalah disiplin yang serius.

Sementara itu, Mazlan meminta ketua-ketua jabatan kerajaan di negeri itu meneliti pendapatan dan keupayaan membayar balik pinjaman kakitangan yang suka berhutang.

"Biasanya kita tidak membenarkan kakitangan berhutang melebihi 60 peratus daripada pendapatan mereka. Kalau dia terlampau banyak meminjam, kita tidak benarkan kerana ia akan menyusahkan," katanya.

Mazlan berkata ada kakitangan membuat pinjaman cara lain seperti melalui kad kredit, bagaimanapun kerajaan negeri tidak mempunyai data mengenai jumlah yang terlibat dengan pinjaman kad kredit. - BERNAMA

Artikel Lain