suria

ETP Jana Pendapatan Berganda Tidak Pinggir Kepentingan Bumiputera

JASIN: Pelan transformasi ekonomi (ETP) oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dijangka menjana pendapatan berganda dalam masa 10 tahun lagi tidak akan meminggirkan kepentingan kaum bumiputera, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ketika suasana ekonomi berkembang sihat pada kadar enam peratus setahun pada tahun ini dan tahun-tahun berikutnya, kerajaan telah membuat persiapan dengan menubuhkan Majlis Agenda Ekonomi Bumiputera dan Unit Agenda Bumiputera (Teraju) untuk mereka merasai serta menikmati pembangunan ekonomi.

"Kedudukan bumiputera dalam konteks dan peluang menerusi (ETP) ini disedari oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan inisiatif tertentu supaya bumiputera tidak terabai dalam setiap projek besar yang akan dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran mesin baru dan produk baru Kumpulan Syarikat Orang Kampung (OK) di Taman Industri Kecil dan Sederhana Merlimau di sini Sabtu.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan Tabung Yayasan Pusat Hemodialisis Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang ditaja oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Melaka.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua DPMM Datuk Md Ramly Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif OK, Habibul Ajmi Manggar.

Muhyiddin berkata BN juga menggubal dasar yang begitu jelas dalam soal ekonomi yang melibatkan semua kaum utama di negara ini, Melayu, Cina dan India, bahkan turut mengambil kira kepentingan kaum minoriti.

Beliau membidas pakatan pembangkang dalam suasana pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang, kerana parti PAS, DAP serta PKR tidak menyentuh agenda ekonomi dalam kempen mereka.

"Mereka tidak ada hala tuju dalam soal ekonomi ini malah tidak mempunyai inisiatif untuk membantu ekonomi negara," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata pembangkang menerusi Ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya tidak mempunyai soal agenda bumiputera dalam pembangunan ekonomi bahkan soal berkaitan rakyat Malaysia secara am.

"Sebab itu, kita tak mahu masyarakat terpedaya dengan dasar Buku Jingga yang kononnya akan dilaksanakan dalam 100 hari jika mereka berjaya memimpin negara untuk mengatasi semua masalah rakyat," katanya.

Muhyiddin berkata BN sudah mempunyai dasar iaitu Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional yang merangkumi kesejahteraan semua kaum.

"Kita tidak tumpu kepada satu kaum, malah tak mungkin negara boleh maju kalau hanya ada satu kelompok masyarakat yang berjaya," katanya.

Muhyiddin turut memuji OK sebagai sebuah syarikat bumiputera yang berkembang maju malahan mampu menembusi pasaran eksport menerusi produk asas iaitu minuman herba untuk kesihatan.

Pada majlis itu, sebanyak RM205,000 diterima untuk pelancaran pusat hemodialasis, termasuk daripada dua penyumbang utama iaitu DPMM sebanyak RM100,000 dan OK sebanyak RM50,000. - BERNAMA

Artikel Lain