suria

Cadangan Wujud Teksi Air Di P.Pinang Diteruskan - Nor Mohamed

KEPALA BATAS: Kerajaan akan meneruskan cadangan mewujudkan teksi air di Pulau Pinang sebagai satu daripada produk pelancongan baru di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata teksi air adalah satu konsep yang baik untuk pengangkutan dan pelancongan di Pulau Pinang.

Katanya kajian mengenai pelaksanaan teksi air itu telah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

"Setakat yang saya tahu, tidak ada cadangan daripada NCIA untuk batalkan (pelaksanaan teksi air)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tasek Gelugor di sini, Sabtu.

Katanya kerajaan tidak mempunyai masalah daripada segi menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan teksi air itu.

"Di bawah NCIA, kita ada peruntukan untuk pelaksanaan teksi air ini," katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Tan Cheng Liang dilaporkan berkata kerajaan telah meluluskan pelaksanaan teksi air itu dan sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan untuk projek berkenaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kawasan yang dicadang menjadi laluan bagi bahagian pulau ialah perairan Tanjung Bungah, Teluk Bahang, George Town, Pulau Jerejak dan Batu Maung manakala bagi kawasan Seberang Perai pula meliputi perairan Bagan Ajam, Butterworth, Batu Kawan dan Nibong Tebal. - BERNAMA

Artikel Lain