suria

Shahrizat Dedah Taktik Kotor Menyamar Sebagai Wanita UMNO

TEMERLOH: Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau supaya tidak terpedaya taktik sesetengah pihak yang menyamar sebagai anggota Wanita Umno dan meminta mereka mengundi PAS.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diperolehnya, pihak terbabit memakai pakaian serba merah mendakwa kononnya kecewa dengan Umno.

"Mereka dikatakan merayu kepada pengundi supaya tidak lagi mempercayai Barisan Nasional (BN) sebaliknya mengundi PAS untuk bersama-sama mereka yang kononnya protes.

"Kita harap pengundi di Kerdau ini tidak tertipu kerana tiada ahli wanita yang protes dan kemudian turun ke rumah-rumah meminta pengundi mengundi PAS. Ini semua taktik kotor pihak tertentu," katanya kepada pemberita di Kampung Badok, Teluk Sentang di sini Jumaat.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengulas kejadian itu yang dilaporkan sedang berlaku ketika kempen pilihan raya kecil DUN Kerdau, yang sedang rancak dan akan berakhir Sabtu.

Beliau kemudiannya turut melancarkan program Gelombang Merah anjuran Pergerakan Wanita Umno untuk bergerak dari rumah ke rumah di sekitar DUN Kerdau merayu pengundi supaya menyokong Umno dan BN.

Pada majlis pelancaran di Teluk Sentang itu, kira-kira 600 anggota Wanita hadir memberikan sokongan dan berjalan dari rumah ke rumah untuk tujuan meraih undi.

"Hari ni kita akan serang rumah ke rumah dan minta mereka tolak cara politik PAS dan pilih pembangunan yang sentiasa dibawa oleh kerajaan BN," katanya.

Pilihan raya Kecil DUN Kerdau diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan calon BN, Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad berhadapan Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim. - BERNAMA

Artikel Lain