suria

PRK Merlimau: Taktik Anwar Bangkit Kes Liwat Dalam Kempen Tak Berkesan

JASIN: Usaha pembangkang mengheret penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kematian Teoh Beng Hock bertujuan meraih simpati tidak akan berjaya memperdayakan pengundi kawasan tersebut.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, tindakan Anwar yang menggunakan pentas di Merlimau menagih simpati para pengundi dengan membangkitkan kes-kes tersebut nyata tidak berkesan.

"Beliau cuba menceritakan apa yang berlaku sepanjang perbicaraan tapi dia lupa rakyat dah tahu.

"Sekarang banyak sumber termasuk Internet menjadi saluran rakyat mendapat cerita sebenar kerana apa yang berlaku dalam mahkamah dan Suruhanjaya Diraja Siasatan kes Teoh dicatatkan, tak boleh tipu," katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Mesra Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Hari Bersama Pelanggan Kementerian Dalam Negeri di Merlimau Point, di sini Khamis.

Hadir sama termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad.

Beliau mengulas tindakan Ketua Pembangkang tersebut yang membangkitkan kes liwatnya di mahkamah selain kes Teoh yang kedua-duanya kini dibicarakan.

Hishammuddin berkata, pembangkang tidak mempunyai isu khususnya di Merlimau sehingga Anwar terpaksa mempolitikkan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah selain prosiding Suruhanjaya Diraja.

Katanya, pembangkang juga 'seronok' memfitnah BN seolah-olah menafikan segala jasa baik kerajaan.

"Tetapi penerimaan orang ramai di bawah kepimpinan Datuk Ali sejak awal lagi, mereka telah menilai keikhlasan kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat," ujarnya.

Katanya, BN tidak pernah menyentuh peribadi calon pembangkang sedangkan mereka gemar menyerang dengan cara itu semasa berkempen.

"Ada kita maki hamun mereka, ada kita sentuh peribadi mereka... tidak ada," tegas beliau.

Bagaimanapun beliau memuji jentera kempen BN dan pembangkang yang dilihat semakin matang sehingga 17 kali pilihan raya kecil diadakan.

"Kita belajar dan nampaknya semakin matang kempen. Tidak ada kes-kes yang serius berbanding pilihan raya kecil pertama di Permatang Pauh sebelum ini," jelas beliau.

Artikel Lain