suria

P/Raya Kecil Kerdau: Pusingan Akhir Kini Tertumpu Di Kawasan Kelabu

MEMASUKI minit-minit terakhir pusingan kedua liga kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, atmosfera yang sebelum ini dilihat agak sejuk, tenang dan cerah kini seakan bertukar wajah.

Kedua-dua pasukan yang bertanding sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun PAS, masing-masing nampaknya mempergiatkan kempen dan 'serangan' ke tahap yang maksimum.

Ketika tinggal kurang 48 jam tempoh berkempen berakhir sebelum hari pengundian pada Ahad ini, kedua-dua pihak mula menggunakan senjata masing-masing untuk melepaskan peluru terakhir.

Perhitungan akhir ialah BN dan PAS bergerak ke arah memutihkan beberapa kawasan yang disifatkan mereka sebagai 'zon kelabu' dan pada masa yang sama cuba menembusi kubu kuat pihak lawan.

Bagi BN sendiri, tumpuan khusus dengan strategi tertentu perlu dilaksanakan dengan baik agar kelompok berkenaan menyakini asas perjuangan parti itu.

Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin sendiri mengakui bahawa pihaknya mengenal pasti 'dua tiga' kawasan kelabu yang perlu diputihkan.

Menurutnya, jentera Pemuda BN akan melaksanakan strategi bersepadu bertujuan mendekati kelompok pengundi berkenaan namun pada masa yang sama tidak mengabaikan golongan pengundi di kawasan putih.

"Kita sudah ada strategi akhir untuk tumpukan gerak kerja di kawasan kelabu, kawasan putih dan sebagainya...semua perlu diberi tumpuan," katanya ketika ditemui semalam.

Pendekatan berkenaan dilihat tepat kerana selain menumpukan kepada usaha memancing undi di kalangan kawasan pengundi kelabu, kawasan putih juga tidak boleh diabaikan.

BN tidak boleh selesa dengan majoriti 1,615 yang diterima mereka pada pilihan raya umum yang lalu apatah lagi terlalu yakin dengan tafsiran sokongan pengundi diatas kertas berdasarkan rekod.

Bukan apa, takut nanti 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.

PAS juga tentunya sudah merangka strategi untuk memancing undi terutamanya di kawasan yang dikatakan sebagai 'simpanan tetap' BN.

Jelas sekali di DUN Kerdau, pengundi di kawasan Felda iaitu di Jengka 22, 23 dan 25 adalah sasaran utama PAS selain di satu kawasan Felcra iaitu Rumpun Makmur.

Usaha menembusi kubu kuat BN terutama di kalangan pengundi Felda yang berjumlah 3,031 orang atau satu pertiga daripada 8,999 keseluruhan pengundi di DUN kerdau dapat dilihat menerusi ceramah-ceramah yang diadakan saban malam di kawasan berkenaan.

Malah pembangkang turut menurunkan penceramah 'heavyweight' mereka iaitu Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di Rumpun Makmur dan Jengka 22.

Anwar tampil dengan membawa misi 'buku jingga' dan kes liwat keduanya. Anwar dilihat cuba menagih sentimen sokongan pengundi melalui kes yang sedang dilaluinya kini.

Selain Anwar, anak perempuannya yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah; bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak ketinggalan turun ke sini untuk berkempen.

Bagaimanapun, sukar ditafsirkan sama ada semua penceramah ini termasuk Anwar berjaya mengubah fikiran masyarakat di sini.

Dalam liga DUN Kerdau, pembangkang bukan sahaja perlu bersaing dengan BN - sebagai sebuah entiti parti politik yang kuat, malah mereka juga perlu menyaingi peribadi calon parti itu, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang dilihat begitu popular di kalangan pengundi.

Bukan sahaja di tanah-tanah rancangan sama ada Felda atau Felcra, Syed Ibrahim turut disenangi di kalangan pengundi kampung tradisi.

Jadi akhirnya segala-galanya akan bergantung kepada kemampuan calon PAS, Hassanuddin Salim untuk membuat sentuhan akhir bagi memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

Artikel Lain