suria

Polis Tembak Mati Dua Penjenayah Terlibat Kes Bunuh Pemandu Teksi

KOTA KINABALU: Dua penjenayah yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang pemandu teksi di tapak pembinaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sandakan, Isnin lepas, mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan ketika polis cuba menahan mereka petang Khamis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis berjaya mengesan kedua-dua penjenayah pada kira-kira 2.05 petang hasil maklumat orang awam, iaitu mereka berada di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Batang, Batu 10, kira-kira tujuh kilometer dari tempat kejadian pembunuhan pemandu teksi itu.

Beliau berkata apabila pasukan polis tiba di kawasan itu dan meminta mereka menyerah diri, mereka telah melarikan diri sambil melepaskan tembakan terhadap pasukan polis.

"Pasukan polis telah membalas tembakan dan akhirnya kedua-dua penjenayah ini mati ditembak," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua penjenayah itu dipercayai terlibat dalam kejadian pembunuhan pemandu teksi itu berdasarkan jenis senjata yang ditemui di tempat kejadian, bagaimanapun, menurutnya perkara itu hanya dapat dipastikan selepas senjata api itu hantar ke Jabatan Kimia untuk ujian balistik.

Katanya sepucuk pistol jenis colt.45 dengan sebutir peluru dalam 'chamber', tiga lagi butir peluru dan 'magazine' ditemui pada seorang daripada penjenayah yang ditembak mati itu.

Isnin lepas, seorang pemandu teksi Junaidi Saman, 53, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di bawah dagu dan bawah kanan mulutnya dipercayai menggunakan pistol jenis kaliber .45. Polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam selepas seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap di tepi sebuah teksi.

Hamza berkata dalam kejadian tembakan itu, polis juga menjumpai beg mengandungi dua telefon bimbit, satu daripadanya dipercayai milik pemandu teksi itu.

"Setakat ini kita belum mempunyai butiran kedua-dua penjenayah...tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mereka jadi kita akan terus siasat," katanya dan menurutnya kedua-dua penjenayah itu dianggarkan berumur dalam lingkungan 30-an.

Beliau berkata polis masih menjalankan penyiasatan terhadap beberapa orang yang percayai terlibat dalam kes bunuh pemandu teksi itu dan motif pembunuhan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marung berkata dengan tumpasnya dua penjenayah itu, penduduk di daerah ini terutama yang tinggal di kawasan Jalan Sungai Batang kini tidak lagi perlu risau akan keselamatan mereka.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada orang awam yang membantu polis dalam menyelesaikan kes pembunuhan itu terutama dalam menjejaki dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain