suria

Pilihan Raya Sarawak Amat Penting Buat Masyarakat Cina - SUPP

KUCHING: Pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan amat penting buat masyarakat Cina di negeri ini kerana mereka perlu menentukan sama ada mereka mahu diwakili dalam kerajaan atau sebaliknya, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Bagaimanapun, beliau percaya pemikiran pragmatik dalam kalangan kaum berkenaan akan membantu mereka membuat keputusan yang bijak demi menentukan masa depan politik komuniti itu.

"Saya telah bertanya kepada sebahagian besar daripada mereka dan tiga perempat daripada mereka menyatakan bahawa kaum Cina perlu berada dalam kerajaan. Sama ada mereka akan menterjemahkannya dalam bentuk undi dalam pilihan raya akan datang, kami tidak begitu pasti.

"Bagaimanapun, kami boleh memberitahu mereka bahawa amat penting untuk menempatkan wakil terbaik kita dalam kerajaan. Muda, pertengahan umur atau tua, anda ada pilihannya," kata beliau kepada Bernama dalam satu wawancara di sini.

Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata hujah parti pembangkang bahawa kaum Cina seharusnya mengundi lebih banyak wakil daripada pembangkang untuk bersuara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai kecacatan kerana berbuat demikian tanpa berada dalam kerajaan tidak akan menyelesaikan masalah.

"Sebagai contoh, sememangnya telah diketahui bahawa jika anda berada dalam sesebuah keluarga, lebih mudah untuk menyelesaikan masalah berbanding mereka yang tidak berada dalam keluarga itu," katanya.

Tambahan pula, katanya banyak masalah yang menjejaskan kaum Cina di negeri ini telahpun diselesaikan beransur-ansur, termasuk isu premium tanah dan tapak bagi sekolah Cina di mana kerajaan negeri bersetuju membantu serta meringankan bebanan.

Ini termasuk wang kembalian bagi bayaran memperbaharui premium tanah yang dibuat sebelum 1 Jun tahun lepas, penghapusan Seksyen 47 kanun tanah negeri di Bako dan tanah bagi sekolah Cina persendirian.

"Ada di antara mereka yang telah mula mendapat wang kembalian bagi premium tanah itu, misalnya penduduk di Taman Kenyalang. Selain itu, masalah berkaitan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) turut ditangani oleh Perdana Menteri," katanya sambil menambah tidak banyak lagi isu yang belum diselesaikan.

Dalam wawancara itu juga, Dr Chan turut menyentuh mengenai calon parti bagi pilihan raya negeri yang menurutnya 'sedikit sebanyak' telahpun dimuktamadkan dan kesemua mereka dianggap sebagai 'calon yang boleh menang.

SUPP telah memutuskan untuk mengekalkan kesemua 12 penyandang Ranum Mina (Opar), Tan Joo Phoi (Batu Kawah), Dr Jerip Susil (Bengoh), Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang), Dr Johnicol Rayong (Engkilili), Datuk Dr Soon Choon Teck (Dudong), Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Vincent Goh (Pelawan), Tan Sri Dr George Chan (Piasau), Andy Chia (Pujut), Datuk Lee Kim Shin (Senadin) dan Datuk David Teng (Repok).

Parti itu turut membuat keputusan untuk mengetengahkan muka baru bagi tujuh lagi kerusi negeri Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Meradong, Bukit Assek dan Kidurong.

"Saya telah berbincang dengan Ketua Menteri (tentang perkara ini) tetapi belum mengemukakan nama mereka secara rasmi. Saya tidak boleh mendedahkan nama mereka buat masa ini," katanya.

Pada pilihan raya negeri yang lepas, SUPP kalah lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya namun memperoleh satu kerusi tambahan apabila Adun Bebas bagi kerusi Engkilili, Dr Johnicol Rayong menyertai parti itu tahun lepas.

Dr Chan berkata Setiausaha Agung SUPP Datuk Sim Kheng Hui turut menarik balik penggantungan terhadap cawangan Meradong berkuat kuasa Selasa lepas, membolehkan cawangan itu bergerak sepenuhnya menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Cawangan itu digantung hampir dua tahun susulan pertikaian dalaman berhubung kepimpinan di peringkat cawangan.

Dr Chan percaya SUPP, yang membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya negeri sejak tahun lepas, akan mencatat kejayaan lebih baik berbanding pencapaiannya pada pilihan raya negeri 2006.

Beliau berkata sungguhpun parti itu kalah di kawasan pilihan raya yang mempunyai lebih daripada 80 peratus pengundi Cina, parti itu masih berjaya memenangi kerusi yang mempunyai 50 hingga 80 peratus pengundi Cina.

Sebagai contoh, beliau berkata bagi kerusi DUN Piasau yang diwakilinya, jumlah pengundi secara signifikan lebih rendah dalam pilihan raya 2006 kerana sebahagian daripada pengundi yang pada asalnya mengundi di Piasau telah berpindah ke DUN Senadin, yang baru diwujudkan dan DUN Pujut, yang bersebelahan dengannya.

"Bagaimanapun, saya masih mampu menang dengan majoriti kira-kira 4,000 undi, bermakna saya masih mendapat sokongan kira-kira 70 peratus sungguhpun jumlah pengundi lebih kecil," katanya.

Sejak beberapa tahun lepas, SUPP telah mendaftar lebih 30,000 anggota baru, sebahagian besarnya golongan muda, katanya.

"Jika parti kami tidak bagus, tiada siapa pun yang mahu menyertai kami. Parti ini sebenarnya bukanlah tidak bagus tetapi kekalahan di beberapa kerusi pada 2006 mewujudkan tanggapan bahawa kami berada dalam keadaan yang kurang baik dan kami akan menanggung kekalahan yang teruk dalam pilihan raya negeri akan datang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain