suria

Pemuda MIC Sasar 10,000 Belia India Mohon Sertai PDRM, ATM Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Pemuda MIC mensasarkan kira-kira 10,000 pemuda kaum India akan memohon menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jerayawara kempen ke seluruh negara yang berlangsung sepanjang tahun ini.

Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkata kempen mendekati belia India untuk menggalakkan mereka menganggotai pasukan keselamatan negara adalah kesinambungan kepada promosi yang bakal diadakan Pemuda MIC bermula esok di Melaka, 6 Mac di Pulau Pinang dan 7 Mac ini di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur.

Kempen itu dibuat selepas PDRM dan ATM mengiklankan jawatan kosong di akhbar baru-baru ini, katanya.

Pemuda MIC akan mendekati para pelajar sekolah menengah yang bakal menamatkan alam persekolahan mereka setelah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini, katanya.

Mohan berkata Pemuda MIC dalam kempen itu akan turut memberi tunjuk ajar bagaimana menghadapi temuduga dan apakah kelayakan akademik dan fizikal yang diperlukan bagi menganggotai pasukan keselamatan negara.

Usaha MIC dalam menggalakkan lebih ramai kaum India menganggotai pasukan keselamatan negara bertujuan menepis dakwaan sesetengah pihak sebelum ini bahawa kaum bukan bumiputera di Malaysia tidak patriotik dan tidak berminat menyertai pasukan keselamatan negara, katanya.

Mohan mencadangkan kepada kerajaan agar memberi kelonggaran dalam pemberian kuota beberapa jawatan tinggi dalam PDRM dan ATM kerana menerusi kaji selidik yang dilakukan pihaknya, rata-rata pemuda India tidak berminat kerana isu kenaikan pangkat dan pangkat terakhir sebelum bersara.

Beliau berkata beberapa jawatan penting dalam PDRM, contohnya perlu diisi oleh kaum India kerana apabila berlakunya kejadian jenayah membabitkan komuniti berkenaan di sesuatu kawasan, ia perlu diselesaikan oleh seorang pegawai polis berbangsa India yang lebih memahami sikap kaum itu.

"Tidak ramai polis berbangsa India memegang jawatan penting dalam PDRM, kali terakhir ialah jawatan sebagai Ketua Polis Selangor yang pernah disandang oleh Tan Sri P. Alagendra dari tahun 1977 hingga 1984," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain