suria

Muhyiddin Saran Syarikat Swasta Dan Agensi Kerajaan Guna Teknologi Tempatan

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaran syarikat swasta menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh pusat-pusat penyelidikan tempatan.

Beliau juga meminta agensi kerajaan mencontohi Perfisio Solutions Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, yang berkeyakinan menggunakan teknologi yang dibangunkan MIMOS Bhd.

Saranan itu dibuat ketika melancarkan sistem Pengurusan Pembelajaran Pintar Tutor Tutor ILMS), satu projek kerjasama antara Perfisio Solutions, MIMOS Bhd dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Perlesenan Teknologi antara MIMOS dan Persifio Solutions dan Memorandum Persefahaman antara MARA dan MIMOS.

Katanya projek sistem e-pembelajaran yang menyediakan objek pembelajaran yang sesuai dengan sifat dan ciri murid itu adalah hasil daripada ujian kognitif profil, yang pertama dihasilkan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Katanya Perfisio Solutions dipertanggungjawabkan oleh MIMOS untuk mengkomersilkan aplikasi ini di peringkat dalam dan luar negara.

"Ia juga dipertanggungjawabkan untuk menambah baik aplikasi ini serta membangunkan aplikasi yang sesuai dengan kehendak setiap pelanggan yang berunding dengan mereka," kata Muhyiddin.

Muhyiddin yakin menerusi kemahiran yang dimiliki oleh tenaga kerja Perfisio Solutions, aplikasi e-pembelajaran itu dapat dikembangkan lagi, bukan sahaja di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi, malah ke pusat latihan korporat swasta.

Perfisio Solutions juga dilantik oleh MIMOS sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan Pembuktian Konsep di beberapa institusi di bawah MARA iaitu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Institut Kemahiran MARA (IKM).

Selain MIMOS dan universiti, Muhyiddin berkata ketika ini terdapat beberapa pusat penyelidikan tempatan yang aktif membangunkan teknologi baru setiap tahun seperti MIMOS dan SIRIM.

Beliau turut menghargai usaha MIMOS dalam meletakkan fokus utama pada aplikasi inovatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk sektor pendidikan.

"Saya percaya penyelidikan ini akan menjadi tunggak permulaan dalam pendidikan ekosistem yang akan membantu peningkatan dalam sektor pendidikan dan pembelajaran," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, Datuk Abdul Wahab Abdullah berkata agensi pembangun teknologi ini menyasarkan peningkatan bilangan harta intelek yang akan difailkan kepada Patent Cooperation Treaty (PCT) pada tahun ini.

"Pada tahun lepas sahaja kita merupakan pemohon tertinggi iaitu 49 peratus daripada keseluruhan permohonan yang dibuat oleh pembangun teknologi di negara ini," katanya.

Katanya peningkatan bilangan harta intelek yang difailkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan turut meletakkan MIMOS di tangga yang ke-186 dalam 1,000 senarai teratas pemohon PCT.

MIMOS katanya adalah satu-satunya organnisasi dari Malaysia yang tersenarai dalam carta tersebut yang turut merangkumi syarikat-syarikat antarabangsa Fortune 500.

Abdul Wahab berkata teknologi yang dihasilkan oleh MIMOS adalah setanding, malah lebih baik daripada teknologi asing pada harga yang jauh lebih munasabah.

"Malah pengguna dari negara yang diuar-uarkan sebagai pencetus teknologi utama dunia, India, turut menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh MIMOS," katanya.

Sehingga kini, selain Perfisio terdapat 25 syarikat tempatan telah memeterai Perjanjian Perlesenan Teknologi dengan MIMOS sebagai syarikat penerima teknologi.

Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Idris Jusoh berkata MARA sedang menjalankan projek perintis di empat MRSM iaitu di Merbok, Kota Putra, Trolak dan Tun Razak dan sebuah IKM Sungai Petani, sebagai Pembuktian Konsep.

"Kami akan mengembangkan penggunaan sistem e-pembelajaran ini ke semua MRSM pada tahun depan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain