suria

Majlis Keselamatan Negara Beri Lampu Hijau Untuk Pulang Ke Mesir

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya telah pun mendapat pengesahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa keadaan di Mesir telah mula pulih dan bertambah baik sekaligus membuka laluan kepada kepulangan pelajar-pelajar Malaysia yang berjumlah lebih 13,000 ke universiti masing-masing mulai sekarang.

Bagaimanapun beliau menasihati semua pelajar Malaysia agar mendaftarkan nama mereka dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum berlepas pulang ke Mesir.

“Para pelajar bolehlah membuat keputusan pulang semula ke Mesir untuk menyambung pengajian mereka yang telah tergendala.

Sepertimana yang semua sedia maklum, tarikh mula pengajian universiti di Mesir telah dikenalpasti iaitu seawal-awalnya pada 12 Mac ini,” kata Khaled dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Walau bagaimanapun, menurut beliau pihak kementerian amat berharap agar para pelajar sentiasa berhati-hati dan menjaga diri mereka. Pada masa yang sama, mereka juga hendaklah sentiasa mengamalkan sikap berjaga-jaga dan berhubung dengan pegawai-pegawai di Education Malaysia Kaherah atau Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah (JPMK).

Bagi mana-mana pelajar yang belum mendaftar di KPT atau JPMK disarankan agar segera berbuat demikian di alamat jpt.mohe.gov.my/mesir.

Selain itu, mereka juga boleh mendaftar butiran diri masing-masing dan mengetahui maklumat terkini berkaitan pengajian di Mesir melalui talian dengan menghubungi nombor 1-800-88-6365.

Pusat ini dibuka dari hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Mereka juga boleh menghantar sms kepada 014-7151556 atau email [email protected]. Pendaftaran ini penting bagi tujuan penyelarasan.

Artikel Lain