suria

Keputusan Teoh Beng Hock Terjun Mungkin Sekelip Mata – Pakar Forensik

KUALA LUMPUR: Pembantu politik, Teoh Beng Hock berkemungkinan telah membuat keputusan dalam sekelip mata untuk terjun daripada tingkap pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua tahun lalu.

Pakar Forensik Patalogi, Dr Prashant Naresh Samberkar berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan kesan lekukan pada tapak kedua-dua belah kasut Teoh, yang dipercayai terhasil apabila mendiang mencangkung di birai tingkap itu.

“Jika Teoh duduk di tingkap dan mengambil sedikit masa untuk berfikir sama ada mahu terjun atau tidak, kesan lekukan akan berbeza kerana ia akan kelihatan lebih dalam berbanding kesan yang ada,” katanya.

Dr Prashant, 43, berkata demikian pada Khamis, semasa memberi keterangan selaku saksi ke-18 pada prosiding Suruhanjaya Siasatan yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh.

Selain itu, beliau yang pernah menjalankan bedah siasat terhadap lebih 5,000 mayat juga berpendapat bahawa Teoh berada dalam keadaan sedar semasa jatuh berdasarkan kepada corak kecederaan yang berlaku.

“Jika Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh, sudah pasti dia akan jatuh dengan bahagian kepala yang merupakan anggota badan yang paling berat akan terhempas dahulu. Ini akan menyebabkan kecederaan teruk di kepala dan juga bahu.

“Bagaimanapun dalam kes ini, Teoh mengalami banyak kecederaan di bahagian bawah tubuh berbanding bahagian atas badan,” katanya semasa menjawab soalan yang diajukan oleh Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Pada keterangan lain, Dr Prashant juga menolak kesan kecederaan yang terdiri daripada tujuh bintik kecil pada bahagian dalam pergelangan tangan kiri Teoh adalah disebabkan oleh kesan cengkaman kuku.

Ini kerana, tambah Dr Prashant, 43, jika benar ia terhasil kerana cengkaman kuku, sudah pasti jarak setiap kesan bintik-bintik tersebut tidak akan begitu jauh antara satu sama lain.

“Saya percaya kesan itu dihasilkan daripada jam tangan yang dipakai oleh Teoh akibat impak jatuh daripada tempat yang sangat tinggi,” kata saksi yang berasal dari India dan pernah berkhidmat dengan Kerajaan Fiji sebelum ini.

Selain itu, beliau juga menyokong keterangan yang dibuat oleh rakan sejawatnya, Dr Khairul Azman Ibrahim bahawa mereka mempunyai kelebihan semasa melakukan bedah siasat kali pertama terhadap mayat Teoh.

“Semasa kami membuat bedah siasat, bahagian luaran dan organ dalaman berada dalam keadaan yang asal dan mayat juga berada pada tahap yang masih segar,” katanya.

Pada prosiding sama, Dr Prashant turut memohon maaf kepada anggota suruhanjaya kerana kesilapannya terlepas pandang mengenai ketiadaan bintik-bintik merah pada bahagian mata Teoh yang dapat menunjukkan tanda-tanda kelemasan.

Menurut beliau, perkara tersebut ada ditulis pada draf asal laporan bedah siasat, bagaimanapun tidak ditaip pada laporan yang dihantar kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal.

Saksi juga meluahkan rasa tidak selesa untuk menjawab soalan oleh peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mengenai tempoh masa untuk bintik-bintik merah itu hilang daripada mata seseorang yang masih hidup walaupun telah mengalami kejadian lemas.

“Mungkin seminggu, tapi saya tidak selesa untuk mengatakannya kerana saya selalu berurusan dengan orang yang telah mati,” katanya.

Justeru itu, seorang anggota suruhanjaya, Dr Bhupinder Singh yang merupakan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang memberitahu bahawa kesan itu boleh hilang dalam tempoh dua atau tiga minggu.

Prosiding hari ini turut disertai oleh dua pakar psikiatri, Dr Badi’ah Yahya dan Dr Nor Hayati Ali yang hadir sebagai pemerhati yang dilantik oleh SPRM manakala wakil Majlis Peguam, Christopher Leong memaklumkan pakar psikiatri pihaknya akan hadir pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, 52, yang bertanggungjawab melakukan bedah siasat kali kedua terhadap mayat Teoh pula merumuskan bahawa mendiang mati akibat kecederaan berganda akibat jatuh.

Bedah siasat kedua dilakukan pada pukul 12.45 tengah hari, 22 November 2009 iaitu empat bulan dan tujuh hari Teoh dikebumikan.

Justeru itu, beliau berpendapat bahawa bedah siasat kali pertama pada 17 Julai 2009 adalah lebih tepat.

“Fokus utama dalam bedah siasat kedua adalah untuk meneliti kecederaan di leher, untuk melihat sekiranya ia mempunyai kaitan dalam kematian itu. Bagaimanapun, tiada apa-apa yang ditemui,” katanya.

Teoh, 30, yang merupakan pembantu politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati padaa 16 Julai 2009, di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini, iaitu beberapa jam selepas disoal siasat di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14.

Dia hadir di pejabat SPRM pada petang 15 Julai 2009 sebagai seorang saksi dalam penyiasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 5 Januari lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas memberikan keputusan terbuka dalam prosiding inkues yang diadakan kerana tidak dapat memutuskan sama ada kematian itu akibat bunuh diri atau dibunuh.

Artikel Lain