suria

Johor Sumbang RM2,500 Bantu Pelajar Pulang Ke Mesir

JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri Johor memberi bantuan kewangan RM2,500 kepada 570 penuntut Johor bagi membolehkan mereka kembali ke Mesir untuk menyambung semula pegajian yang tertangguh akibat pergolakan politik di negara Timur Tengah itu baru-baru ini.

Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Johor Datuk Maulizan Bujang berkata kesemua mereka merupakan penuntut tajaan persendirian, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

"Penuntut terbabit boleh memilih sama ada mahu menggunakan bantuan kewangan itu untuk membeli tiket ke Kaherah menggunakan pesawat sewaan khas yang dijangka berlepas antara 20 hingga 24 Mac ini atau membeli tiket daripada syarikat penerbangan pilihan mereka," katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan negeri Johor kepada penuntut Johor di Mesir oleh Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman hari ini.

Maulizan berkata pihak agensi pelancongan yang dilantik kerajaan negeri untuk mengendalikan penerbangan sewaan khas itu sedang berusaha bagi membolehkan pesawat terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Senai dan terus ke Kaherah.

"Ia bergantung kepada persetujuan antara Egypt Air dan Malaysia Airports Berhad. Jika tidak boleh berlepas dari Senai, pesawat sewaan khas itu akan berlepas dari Lapangan Terbang KL," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri turut memberi sumbangan sagu hati RM500 kepada 149 penuntut Johor lain yang menerima tajaan daripada agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Majlis Amanah Rakyat dan Amanah Raya Berhad.

Bagi penuntut Johor yang ditaja oleh agensi persekutuan terbabit, katanya proses penghantaran mereka ke Mesir dikendalikan oleh agensi berkenaan.

Keseluruhannya kata Maulizan kerajaan negeri bersama-sama MAIJ dan YPJ membelanjakan RM1.6 juta bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh 719 penuntut Johor yang akan meneruskan pengajian mereka di Mesir.

Selain itu katanya terdapat 20 penuntut Johor yang mengambil keputusan untuk kekal di Mesir ketika tempoh pergolakan politik itu, tetap akan menerima bantuan kewangan daripada kerajaan negeri. -BERNAMA

Artikel Lain