suria

JKJR Mahu PBT Hentikan Perniagaan Di Tepi Jalan Bagi Elak Kemalangan

ALOR SETAR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah mahu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan untuk menghentikan segera perniagaan penjaja kecil di tepi jalan kerana operasi mereka boleh menjadi punca kemalangan jalan raya.

Pengarah JKJR Kedah M. Surentharan berkata perniagaan di bahu atau tepi jalan mengundang bahaya kerana pengguna jalan raya kerap berhenti dan keadaan itu mengganggu pengguna lain.

"Kebanyakan kenderaan dipandu laju dan boleh terbabas dan merempuh gerai di tepi jalan. Eloklah PBT ambil tindakan sebelum kemalangan buruk menimpa," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, pada Jumaat.

Surentharan berkata peniaga seharusnya berniaga di tempat yang disediakan PBT dan bukan di tepi jalan raya kerana risiko yang dihadapi adalah tinggi.

PBT perlu mengambil tindakan segera bagi mengelak pertumbuhan gerai kecil di tepi jalan, katanya sambil memberitahu bahawa JKJR mengenalpasti beberapa jalan di Kuala Muda yang menjadi tumpuan banyak gerai. -BERNAMA

Artikel Lain