suria

Jangan Rencatkan Pembangunan - Muhyiddin

TEMERLOH: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau diingatkan agar tidak merencatkan usaha pembangunan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memilih wakil rakyat yang salah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat seharusnya memilih calon yang boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pusat untuk mempermudahkan menyelesaikan masalah dan keperluan mereka.

"Maka adalah lebih elok memilih calon yang boleh bekerjasama dengan pimpinan negeri dan pusat untuk mempermudahkan urusan membantu rakyat daripada segi ekonomi, prasarana, pendidikan, perubatan dan kesihatan dan sebagainya.

"Saya lihat masih ada ruang kawasan Kerdau ini untuk dimajukan," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra di Rumpun Makmur di sini, Jumaat.

Turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Muhyiddin berkata beliau yakin pengundi di kawasan Kerdau memahami segala tindakan kerajaan khususnya usaha transfromasi dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang bertujuan membawa kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

Justeru, kata beliau rakyat perlu menterjemahkan kefahaman itu dengan menyokong calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

"Bila kita memangkah (calon BN) maknanya kita sokong usaha untuk memerangi jenayah, kita sokong usaha memperbaiki pendidikan, infrastruktur," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan jentera BN agar bekerja lebih keras dalam tempoh 48 jam terakhir berkempen.

"Tempoh 48 jam ini kritikal, dulu kita memperoleh majoriti besar tetapi jangan abaikan kecenderungan pada tempoh terakhir ini," katanya.

Pada majlis itu, Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said turut mengumumkan kelulusan kerajaan membina sebuah sekolah kebangsaan bernilai RM6 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan sebuah masjid baru bernilai RM2 juta bagi kemudahan penduduk Rumpun Makmur. - BERNAMA

Artikel Lain