suria

Hishammuddin Jamin Proses Mengundi Di Merlimau Lancar Ahad Ini

JASIN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan proses pengundian pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau Ahad ini, akan berlangsung dalam keadaan lancar.

Beliau berkata, hasil pemantauan yang dilakukan ke atas Markas Tektikal (Martek) Polis Diraja Malaysia di sini, menunjukkan pasukan keselamatan sentiasa bersedia dan berada di tahap terbaik untuk menjalankan tugas memantau kempen parti-parti bertanding yang berbaki dua hari.

Katanya, DUN Merlimau menjadi antara kawasan pilihan raya terbaik dan matang serta berharap keadaan yang aman dapat dikekalkan sehingga hari pengundian, Ahad ini.

Hishammuddin berkata kes-kes seperti memecahkan cermin kenderaan, membakar bendera dan seumpamanya hanyalah kes terpencil berbanding apa yang pernah berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

"Kita telah melalui banyak perubahan selama ini. Saya berharap orang ramai di Merlimau semakin bijak. Daripada apa yang saya lihat, semuanya berjalan lancar," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad, 44, dan calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, 56, pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung. - BERNAMA

Artikel Lain