suria

Biasiswa Bukan Perbelanjaan - Najib

MELBOURNE: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan berpandangan biasiswa adalah pelaburan dan bukan perbelanjaan kerana langkah itu mampu membawa negara ke peringkat lebih tinggi.

"Ini (biasiswa), kami percaya bukan perbelanjaan tetapi pelaburan. Jika kita terus melabur kepada rakyat, kita akan menjadikan negara kita lebih berdaya saing," katanya di sini pada Jumaat.

Berucap di hadapan rakyat Malaysia, kebanyakannya pelajar yang sanggup meredah cuaca sejuk untuk bertemu beliau ketika lawatannya ke Universiti Melbourne, Najib berkata kunci kejayaan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi terletak pada rakyat.

"Jika anda mempunyai golongan rakyat yang tepat, anda berupaya mengalihkan gunung, mengangkat negara ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar menimbang untuk menyumbang kepada tanah air, selepas menimba sebanyak mungkin pengalaman di luar negara.

Najib berkata sistem biasiswa boleh membentuk seseorang menjadi individu yang lebih baik dan menyumbang secara positif kepada masyarakat menerusi nilai-nilai murni yang ada pada mereka. -BERNAMA

Artikel Lain