suria

Bekas Suami Nafi Ibu Bapa Cuba Hancurkan Kerjaya Iking

KUALA LUMPUR: Bekas suami model dan pengacara TV terkenal, Daphne Iking, menafikan dakwaan bahawa ibu bapanya bertekad untuk menghancurkan karier bekas isterinya selepas mengetahui wanita itu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ryan Chong Yiing Yih, 33, menjawab perkara itu ketika disoal balas peguam Datuk Jagjit Singh berhubung petisyen penceraian yang difailkan oleh Iking pada tahun lalu.

Dakwaan itu terkandung di dalam petisyen dikemukakan oleh Jagjit di mahkamah pada Jumaat.

Chong juga menafikan bahawa perkahwinan mereka di Bali, Indonesia pada 27 Januari 2007 adalah satu publisiti murahan untuk menjadi terkenal dengan menggunakan populariti Iking.

Chong menafikan bahawa dia memberikan hak eksklusif kepada majalah hiburan Hello! untuk menyiarkan gambar majlis perkahwinan itu dalam keluaran pertama edisi Malaysia yang diterbitkan pada Mac 2007.

Sebaliknya, Chong mendakwa perkara itu diuruskan oleh Iking dengan pihak pengurusan majalah itu dan dia hanya menurut kerana segalanya telah dirancang terlebih awal.

Chong mengemukakan saman peribadinya itu terhadap bekas pengarah Urusan Adidas Darren Choy Khin Ming, 45, yang didakwa memikat Iking dengan niat untuk bersetubuh dengan wanita itu di kondominium The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, antara Julai 2007 dan September 2008.

Choy didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding bertukar menjadi panas apabila Jagjit menjerit kepada Chong beberapa kali bahawa "Chong menipu" selepas berlaku percanggahan antara laporan polis dengan keterangan ahli perniagaan itu di mahkamah.

"Bagaimana dalam laporan kamu boleh kata kamu terserempak dengan Daphne sedangkan dalam keterangan kamu cakap kamu sememangnya menunggunya di lapangan terbang, kamu tipu, kamu tipu," katanya.

Bagaimanapun Chong yang berada di kandang saksi itu kelihatan tenang meskipun beberapa kali ditekan oleh Jagjit.

Chong menafikan ada memberitahu Iking bahawa dia akan mewarisi RM8 juta daripada datuknya ketika dia sedang memikat bekas isterinya itu.

"Saya setuju tidak dapat mewarisi harta itu apabila datuk meninggal pada Ogos 2008, tetapi ia bukan disebabkan kerana datuk saya mengetahui hubungan saya dengan Serena," katanya.

Pada perbicaraan sebelum ini, Chong mengaku bahawa dia ada menjalin hubungan dengan Serena yang merupakan pegawai perkhidmatan pelanggan (GRO) yang dikenalinya di Shanghai, China.

Ketika prosiding bersambung petang, Jagjit memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan itu ditangguhkan sehingga Isnin selepas kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berbincang menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

"Kami telah berbincang dan mencadangkan supaya kes itu dapat diselesaikan secara baik di luar mahkamah yang sekaligus dapat menjimatkan masa mahkamah.

"Ini juga kerana soalan-soalan yang akan dikemukakan selepas ini bukan hanya memalukan defendan malahan keluarga plaintif sendiri," katanya.

Mahkamah menolak permohonan penangguhan itu dan mengarahkan pemeriksaan balas terhadap Chong sejak pagi Jumaat diteruskan.

"Perkara ini boleh dibincangkan kemudian, kita gunakan baki masa yang ada untuk meneruskan perbicaraan," kata Majistret.

Perbicaraan di hadapan Majistret Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah bersambung Isnin. - BERNAMA

Artikel Lain