suria

Bas Bergesel Dengan Motosikal, Warga Emas Maut

PEKAN: Seorang penunggang motosikal maut manakala empat penumpang sebuah bas ekspres cedera apabila bas yang cuba mengelak sebuah motosikal itu terbalik dan terseret kira-kira 100 meter di Kilometer 12 Jalan Kuantan-Pekan, dekat Tanah Putih, di sini Jumaat.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, penunggang motosikal yang dikenali sebagai Mat Deris, 70-an, dari Kampung Ubai, di sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Pekan Supritendan Yahaya Othman berkata bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Terengganu menuju ke Johor Baharu dengan membawa 28 penumpang, manakala penunggang motosikal itu dalam perjalanan ke Kuantan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa keluar secara tiba-tiba di simpang Tanah Putih menyebabkan pemandu bas bertindak mengelak daripada merempuh mangsa.

"Bagaimanapun dalam usaha cuba mengelak dari merempuh mangsa, berlaku sedikit pergeseran antara bas dan motosikal menyebabkan mangsa jatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Yahaya berkata cubaan mengelak itu juga menyebabkan bas terbabit hilang imbangan sebelum terbalik dan terseret kira-kira 100 meter sebelum merempuh pembahagi jalan.

Beliau berkata empat penumpang bas berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun yang cedera dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan.

Sementara itu, pemandu bas berkenaan, Adam Md Noh, 43, berkata beliau melihat motosikal mangsa berada di simpang jalan itu sebelum secara tiba-tiba mangsa bertindak melintas jalan.

Beliau membunyikan hon namun tidak diendahkan mangsa menyebabkannya cuba mengelak tetapi bahagian belakang bas itu tetap bergesel dengan motosikal warga emas berkenaan.

"Saya bersyukur tiada kehilangan jiwa atau kecederaan serius yang menimpa penumpang bas," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain