suria

Anwar Dan Peguam Dimaklumkan Mengenai Alasan Penangkapan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peguamnya, S. N. Nair, telah dimaklumkan bahawa penahanan Ketua Pembangkang itu pada 2008 dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan bertujuan membantu siasatan polis berhubung satu kes liwat.

Superintenden Ahmad Taufik Abdullah, dari ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman, memberitahu bicara dalam perbicaraan dalam kes liwat Anwar bahawa siasatan itu berdasarkan laporan yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pegawai dari Cawangan Jenayah Berat (D9) itu mengulangi bahawa beliau memaklumkan kepada Nair apabila peguam itu menghampirinya selepas beliau (Ahmad Taufik) dan pasukannya (polis) menahan kereta Anwar di Jalan Segambut kira-kira 1 tengah hari pada 16 Julai, 2008.

Saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa Anwar dimaklumkan tentang seksyen (undang-undang) yang digunakan untuk menahan beliau ketika tertuduh dibawa dengan kereta ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL).

Semasa pemeriksaan utama oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, Ahmad Taufik berkata waran penangkapan diserahkan kepada beliau oleh Pegawai Penyiasat Timbalan Superintenden Jude Blaciuos Pereira dan ia diserahkan kepada Anwar di balai polis berkenaan.

Beliau berkata Anwar mengakui menerima waran penangkapan itu dengan menurunkan tanda tangannya pada waran berkenaan dan beliau (Ahmad Taufik) membuat salinan sebelum menyerahkannya semula kepada Pereira.

Ditanya tentang tarikh waran itu dikeluarkan, Ahmad Taufik menjawab 15 Julai, oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Disoal selanjutnya oleh Mohamed Yusof mengenai sama ada beliau hanya menunjukkan waran itu atau membacakan kandungannya, saksi itu berkata beliau melakukan kedua-duanya.

Di peringkat ini, Karpal membantah permohonan Mohamed Yusof untuk mengemukakan salinan waran itu atas alasan ia adalah keterangan sekunder.

Selepas hujah ringkas, Mohamed Yusof bersetuju supaya dokumen itu hanya ditandakan sebagai ID dan akan membuat penghujahan di akhir bicara dalam perbicaraan itu.

Ditanya mengenai orang yang mengeluarkan arahan untuk menahan Anwar, Ahmad Taufik berkata arahan itu dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

"Beliau mengarahkan saya supaya membuat penahanan itu sekiranya Anwar, yang sedang dalam perjalanan dari Putrajaya (ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) gagal pergi ke IPK KL," katanya.

Ketika disoal balas oleh peguam Karpal Singh yang menegaskan bahawa terdapat dua penahanan terhadap Anwar pada hari berkenaan, Ahmad Taufik menjelaskan penahanan dibuat di Jalan Segambut dan waran diserahkan di IPK KL.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan Karpal bahawa beliau berbohong dengan menyatakan beliau telah memaklumkan Nair mengenai alasan penangkapan, padahal Nair dalam keterangannya berulang kali berkata pegawai yang menahan itu tidak berbuat demikian.

Ketika pemeriksaan semula oleh Mohamed Yusof, Ahmad Taufik berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk tidak memaklumkan Nair mengenai alasan penangkapan.

Perbicaraan Jumaat turut menyaksikan pertikaman lidah antara pasukan pendakwaan dan pembelaan ketika Anwar dipanggil semua oleh pihak pendakwaan untuk menjelaskan kenyataan saksi beliau mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan berhubung waran penangkapan itu.

Anwar memberitahu mahkamah bahawa beliau ada menandatangani beberapa dokumen dalam bilik mesyuarat di IPK KL.

Semasa diminta oleh Mohamed Yusof supaya meneliti kenyataan saksi yang asal, Anwar mengesahkan bahawa kenyataan itu direkodkan pada 16 dan 17 Julai 2008 dan beliau ada menurunkan tanda tangan di setiap muka surat kenyataan itu.

Beliau mengakui Ahmad Taufik memaklumkan kepadanya tentang penahanan itu mengikut Seksyen 377B, namun beliau mendesak pegawai itu mengenai alasan penangkapan.

Ketika disoal balas oleh Karpal, sama ada Pereira memberitahu beliau mengenai alasan penangkapannya itu pada bila-bila masa, Anwar sekali lagi berkata beliau bertanyakan Pereira tentang penahanannya, tetapi tiada alasan yang diberi kecuali tuduhan dibacakan kepadanya.

Ditanya selanjutnya oleh Karpal mengenai kenyataan saksi yang asal dan salinan kenyataan itu, Anwar berkata terdapat perbezaan antara kedua-dua dokumen berkenaan.

Anwar berkata pada muka pertama kenyataan saksi yang asal, terdapat tanda tangan beliau dan Pereira, yang disertai nama mereka. Bagaimanapun, dalam salinan, tidak terdapat tanda tangan.

Seorang lagi saksi pembelaan, peguam R. Sivarasa, yang berada bersama Anwar semasa beliau ditahan di IPK KL, memberitahu mahkamah beliau bergegas ke ibu pejabat polis itu sebaik mendapat tahu Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau juga mengikut Anwar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas diberitahu oleh Pereira bahawa polis mahu membawa Anwar ke hospital untuk pemeriksaan perubatan.

Sivarasa, Anggota Parlimen Subang, berkata Anwar telah meminta nasihat beliau mengenai permintaan Pereira untuk mendapatkan sampel darah, berikutan itu beliau berbincang dengan peguam lain yang berada di HKL sebelum menasihati Anwar supaya menolak permintaan itu.

Selepas Sivarasa menamatkan keterangannya, Karpal memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau ingin memanggil tiga lagi saksi, termasuk bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar.

Mohamed Yusof, ketika ditemui kemudian selepas kedua-dua pihak bertemu hakim yang mendengar perbicaraan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah di dalam kamarnya, berkata Karpal membuat keputusan untuk menarik balik permohonannya untuk memanggil tiga saksi itu.

Mohamad Zabidin menetapkan Isnin ini bagi kedua-dua pihak membuat penghujahan bicara dalam perbicaraan itu sebelum membuat keputusan berhubung permohonan pihak pembelaan. - BERNAMA

Artikel Lain