suria

Anwar Akui Dilayan Baik, Namun Dakwa Keadaan Lokap Menyedihkan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa polis melayannya dengan baik namun berkata keadaan lokap tempat dia ditahan semalaman pada 16 Julai 2008, amat menyedihkan.

Anwar, 63, saksi pertama pembelaan berkata sebelum masuk ke lokap itu, dia dibekalkan dengan sebatang berus gigi, sebotol air mineral, sebuku sabun dan dua helai tuala kecil.

Katanya, walaupun dia tidak mengharapkan diberi layanan istimewa, namun secara keseluruhan, keadaan lokap itu amat menyedihkan.

"Keadaannya amat sejuk dan saya tidak boleh tidur di atas lantai simen atau bersandar pada dindingnya," kata Anwar pada prosiding bicara dalam bicara berhubung penerimaan empat barang bukti iaitu tuala Good Morning, berus gigi, botol air mineral dan sehelai rambut, yang diambil daripada lokap tempat dia ditahan semalaman, pada perbicaraan kes liwatnya.

Sebelum itu, Anwar memberitahu mahkamah dia terkejut ketika ditahan sepasukan anggota polis komando yang bersenjatakan submesin-gan di jalan susur ke rumahnya di Segambut pada 16 Julai 2008.

Dia berkata peguamnya S.N.Nair telah mencapai persetujuan dengan pegawai penyiasat Deputi Supritendan Judy Blacious Pereira untuk merakam percakapannya pada 2 petang hari yang sama berhubung laporan polis yang dibuat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Katanya, pada hari tersebut, dia berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aduan mengenai rekaan bahan bukti yang didakwa dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam insiden 'mata lebam' pada 1998.

Anwar berkata dia ditahan ketika dalam perjalanan ke rumahnya dari ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk menunaikan solat Zuhur sebelum bertemu Deputi Supritendan Judy dan Nair juga berada dalam kereta tersebut.

Katanya, seorang pegawai komando polis dikenali sebagai Supritendan Ahmad Taufik tidak memberikan alasan mengapa dia ditahan.

"Berulangkali saya bertanya atas sebab apa saya ditahan, namun dia sekadar memberitahu tugasnya hanya menahan dan membawa saya ke ibu pejabat kontinjen polis (Kuala Lumpur)," katanya ketika disoal peguam Karpal Singh.

Ketika diminta menjelaskan apa yang berlaku di ibu pejabat polis kontinjen itu, Anwar berkata dua pegawai bernama Asisten Komisioner Ghazali dan Deputi Supritendan Yahya Abd Rahman memaklumkan bahawa mereka perlu merakam percakapannya kepada Deputi Supritendan Judy.

"Pada peringkat ini, saya masih tidak dimaklumkan sebab saya ditahan, namun Deputi Supritendan Judy kemudian memaklumkan bahawa berdasarkan laporan polis Mohd Saiful, satu kenyataan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) tidak perlu diambil," katanya.

Selepas itu, Anwar berkata dia dibawa ke Hospital Kuala Lumpur di mana dia diminta memberikan sampel darah.

Katanya, doktor kemudian menjalankan pemeriksaan badan termasuk alat sulitnya.

Ditanya sama ada dia bersetuju memberikan sampel darah, Anwar berkata dia menolak untuk berbuat demikian selepas berbincang dengan peguamnya yang turut hadir di HKL, selain mengelak percubaan mereka-reka bukti terhadapnya.

Anwar, 63, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.01 petang hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pada prosiding hari ini, Anwar turut memberitahu mahkamah bahawa dia dibawa ke sebuah bilik kecil di pejabat bahagian jenayah berat di tingkat tujuh ibu pejabat polis kontinjen itu pada pagi esoknya, dan Deputi Supritendan Judy memaklumkan percakapannya perlu dirakam sebelum dia dibebaskan.

Ketika disoal balas Peguam Cara Negara 11 Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, Anwar bersetuju tidak ada penderaan fizikal dilakukan oleh komando polis walaupun mereka bersenjatakan submesin-gan.

Bagaimanapun, Anwar tidak bersetuju dengan cadangan Mohamed Yusof bahawa dia sememangnya tahu sebab dibawa ke ibu pejabat kontinjen polis itu memandangkan Mohd Saiful telah membuat laporan terhadapnya.

Sementara itu, saksi kedua pembelaan, Nair tidak bersetuju dengan cadangan Mohamed Yusof bahawa sebagai suspek, Anwar diminta memberi keterangan mengikut Seksyen 11 KPJ.

"Dalam kes ini, perintah itu tidak pernah diserahkan kepada pelanggan saya dan ia hanya diberikan kepada pengawal keselamatan di rumah Anwar, undang-undang mengenai perkara ini amat jelas iaitu ia perlu diserahkan kepada individu yang berkenaan," katanya.

Kepada cadangan Mohamed Yusof bahawa isu alasan penahanan Anwar tidak sepatutnya dibangkitkan kerana perkara itu telah disiarkan dalam media tempatan dan asing berikutan laporan polis oleh Mohd Saiful, Nair berkata sebagai peguam, beliau berharap polis yang menyalurkan maklumat itu, bukannya media.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan Mohamed Yusof bahawa perbualan beliau dengan Deputi Supritendan Judy tidak pernah berlaku.

Karpal Singh kemudian memaklumkan kepada mahkamah pembelaan akan memanggil Sivarasa sebagai saksi terakhirnya.

Mohamed Yusof pula berkata pendakwaan akan mengemukakan tiga saksi bagi menyangkal keterangan pembelaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain