suria

Proses Undi Pos Di Kerdau Lancar

TEMERLOH: Proses pengundian pos bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau yang diadakan pada Khamis berjalan lancar dengan 50 daripada 51 pengundi pos selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing sehingga proses berkenaan ditutup pada pukul 5 petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) DUN Kerdau berkata, pihaknya masih menunggu satu lagi kertas undi dikirimkan secara pos dari luar negara kepada SPR.

"Semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah, cuma kita masih menunggu satu lagi kertas undi untuk dikirimkan kembali.

"Selepas ini semua kertas-kertas undi akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh untuk disimpan dengan selamat sebelum dibuka semula Ahad ini untuk proses penjumlahan undi," katanya ketika dihubungi di sini.

Seramai 14 orang anggota polis dan 36 orang petugas SPR mengundi di dua lokasi berbeza iaitu Balai Polis Kerdau untuk anggota polis dan Dewan Plaza Majlis Perbandaran Temerloh untuk petugas SPR.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, manakala PAS diwakili Hassanuddin Salim, 43.

Kerusi DUN berkenaan kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lalu.

Artikel Lain