suria

PRK Merlimau: MCA bawa pulang 301 ahli undi BN

JASIN: MCA melancarkan gerakan membawa pulang kira-kira 301 daripada 954 ahlinya yang menetap di luar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil Ahad ini.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, ahli MCA yang layak mengundi di Merlimau menyumbang kira-kira 42 peratus daripada jumlah keseluruhan 2,270 pengundi Cina yang berdaftar di sini.

Menurutnya, kira-kira 653 ahli MCA kini menetap di Merlimau manakala selebihnya berada di luar kawasan.

"MCA sudah mengarahkan bahagian dan cawangan di Merlimau untuk mengesan 301 ahli yang menetap di luar kawasan dan menyakinkan mereka untuk pulang mengundi Ahad ini.

"Saya beri jaminan kesemua 954 ahli MCA akan mengundi Barisan Nasional (BN) dan saya tidak sangsi mereka akan mengundi calon BN, Roslan Ahmad," katanya kepada pemberita selepas melancarkan risalah Sungai Rambai River Cruise di Dataran Belia 1Malaysia di DUN Sungai Rambai di sini, Khamis.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Chow dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.

PRK DUN Merlimau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dari BN pada 20 Januari lalu. PRU 2008 menyaksikan Mohamad Hidhir menewaskan Jasme Tompang dengan majoriti 2,154.

Ng yang juga Menteri Pelancongan berkata, MCA juga turut menggandakan usaha untuk menarik perhatian kira-kira 1,316 masyarakat Cina bagi memberi mandat kepada BN.

"Gerak kerja telah dijalankan dalam kelompok-kelompok yang kecil dan reaksi positif yang kita terima bahawa mereka menyokong BN," katanya.

Beliau yakin sokongan pengundi Cina pada pilihan raya kecil Ahad ini dijangka meningkat berbanding 2008 berdasarkan reaksi positif itu.

Artikel Lain