suria

PRK Merlimau: 26 Kakitangan SPR Selesai Mengundi

JASIN: Seramai 26 lagi pengundi pos telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengundi di Pejabat Daerah dan Tanah Jasin di sini, Khamis.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Roslan Yusof berkata, kesemua mereka adalah kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas sepanjang pilihan raya kecil ini.

Katanya, mereka mula mengundi daripada pukul 11 pagi hingga 1 petang.

“Pengundian berjalan lancar dan kesemua mereka telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Keseluruhannya sebanyak 62 orang pengundi pos telah melaksanakan tanggungjawab mereka termasuk semalam apabila 36 orang anggota polis telah membuang undi," katanya ketika ditemui sebaik selesai proses berkenaan selesai.

Mereka adalah antara 10,679 pengundi yang akan membuang undi pada Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau, Ahad ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20 Januari lalu.

Pilihan raya Ahad ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Roslan Ahmad, 44, yang akan ditentang oleh Yuhaizad Abdullah, 38, dari Pas.

Pada pilihan raya umum 2008, calon BN Mohamad Hidhir menewaskan Jasme Tompang dengan majoriti 2,154.

Artikel Lain