suria

Pengundian Pos DUN Kerdau Bermula

TEMERLOH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan kertas undi pos bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada pukul 10 pagi di Plaza Majlis Perbandaran Temerloh di sini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman berkata sejumlah 50 kertas undi pos dikeluarkan, masing-masing 14 untuk pengundi terdiri daripada anggota polis dan 36 petugas SPR.

"Kita sudah keluarkan semua kertas undi itu, dan proses pengundian bermula pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata SPR menyerahkan kertas-kertas undi anggota polis kepada Pegawai Penyelaras Undi Pos Polis Cif Inspektor Mohd Irwan Ismawi Sapawi untuk dibawa ke pusat pengundian polis di Balai Polis Kerdau di sini.

"Semua anggota kita sudah bersedia, dan kami jangkakan ia akan selesai sebelum pukul 5 petang ini," kata Tarif.

Tarif berkata semua peti undi akan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh selepas pukul 5 petang Khamis dan akan dibuka semula pada 6 Mac untuk penjumlahan undi.

Pilihan Raya DUN Kerdau diadakan ekoran kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas akibat serangan jantung.

Pertandingan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN diwakili Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dan calon PAS, Hassanuddin Salim, 43, yang juga Ketua Penerangan PAS Pahang. - BERNAMA

Artikel Lain