suria

Penduduk Melaka Dipelawa Beli Lot Kampung Tersusun

JASIN: Penduduk Melaka dipelawa membeli tanah lot di perkampungan tersusun Lipat Kajang di sini, bermula Khamis.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, sebanyak 224 lot kediaman, 17 lot kedai dan gerai ditawarkan di atas tapak seluas 20 hektar yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan awam.

Lot tanah di sini mampu dimiliki memandangkan ia dijual pada kadar RM10 hingga RM13 sekaki persegi (0.3048 meter persegi) bergantung pada keluasannya yang dianggar antara 5,000 dan 6,000 kaki persegi setiap lot, katanya semasa berucap pada majlis pelancaran projek pembangunan perkampungan Tersusun Lipat Kajang di sini, Khamis.

Perkampungan tersusun itu adalah projek Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dengan kerjasama anak syarikatnya Maim Holdings Berhad.

Mohd Ali berkata, daripada 224 lot kediaman itu, 30 peratus diperuntukkan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, 20 peratus kepada penduduk Parlimen Jasin, 30 peratus kepada kakitangan kerajaan, 10 peratus kakitangan agensi agama dan 10 peratus lagi kepada lain-lain kategori masyarakat.

Beliau berkata, mereka yang mendiami kampung tersusun itu akan menikmati pelbagai kemudahan memandangkan DUN Merlimau dilengkapi banyak prasarana seperti sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Mohd Ali meminta pihak bank memberi pinjaman perumahan untuk dua generasi bagi membolehkan bayaran pinjaman rumah disambung oleh anak pembeli rumah berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Besar Maim Holdings Berhad, Datuk Ibrahim Fadzil berkata, geran tanah akan diperoleh dalam masa dua bulan dan boleh digunakan untuk proses mendapatkan pinjaman bank.

"Kami juga akan menyiapkan laluan jalan, bekalan letrik dan saluran air agar pembeli boleh cepat membina rumah di atas lot tanah masing-masing," katanya.

Setakat ini, terdapat empat perkampungan tersusun iaitu dua di Lipat Kajang dan masing-masing satu di Tehel, daerah Melaka Tengah dan Melaka Pindah di daerah Alor Gajah.

Seorang pembeli, Borhan Hasan, 53, yang tinggal di Selandar dekat sini, berkata beliau berminat dengan program kampung tersusun Lipat Kajang kerana kedudukan tanah itu berhampiran Plaza Tol Lipat Kajang.

"Ia juga dekat dengan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pembinaannya baru dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Mendapat," katanya yang membeli lot berharga RM49,000. NAH BD S N03/03/2011 19-33ST

Artikel Lain