suria

Pemandu Bas Dipenjara 20 Tahun Sebabkan Kematian Remaja Perempuan

SHAH ALAM: Seorang pemandu bas dikenakan hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, hampir tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu terhadap G.Neveen, 25, selepas pihak pendakwa meminda tuduhan membunuh kepada menyebabkan kematian S.Rubenthiran, 19, seorang kerani sebuah kilang ais.

Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menukar pengakuan kepada menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Abdul Rahim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Sept, 2008, iaitu sehari selepas kejadian itu.

Neveen didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 11 malam di Batu 8 1/2, Jalan Perepat, Kapar, Klang, dekat sini, pada 6 September 2008.

Berdasarkan fakta kes, Rubenthiran meninggal dunia akibat tetakan di bahagian leher dan mayatnya dijumpai di satu kawasan kebun di situ.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahim berkata kesalahan tertuduh adalah sangat serius dan membawa hukuman penjara maksium 30 tahun.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah juga mengambil kira hujahan pembelaan bahawa tertuduh merupakan tempat keluarganya bergantung untuk mencari rezeki memandangkan ibu bapanya telah berusia, adik lelakinya tidak bekerja kerana kakinya lumpuh manakala adik perempuannya masih bersekolah.

Sebelum itu, peguam tertuduh, Mohd Firuz Jaffril, memohon mahkamah supaya anak guamnya diberi hukuman ringan memandangkan dia telah insaf dan perlu menanggung keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadhli Mat Sutris meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kes pembunuhan semakin berleluasa pada masa ini. - BERNAMA

Artikel Lain