suria

Pelajar Sarawak Siap Sedia Kembali Ke Mesir 15 Mac

KUCHING: Pelajar Sarawak dijangka pulang semula ke Mesir pada pertengahan bulan ini dan 15 Mac telah ditetapkan sebagai tarikh tentatif untuk kumpulan pertama berlepas bergantung pada kelulusan Majlis Keselamatan Negara dan universiti-universiti di sana.

Pengarah Yayasan Sarawak Mohamad Abu Bakar Marzuki menasihatkan pelajar dan penjaga mereka sentiasa menghubungi penaja masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini.

"Kami mengadakan pertemuan dengan pelajar bersama ibu bapa mereka semalam dan memberi jaminan bahawa tiket penerbangan akan ditanggung oleh kerajaan negeri termasuk mereka yang tidak ditaja oleh institusi seperti Yayasan Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MARA, dan Amanah Raya," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Mohamad menyarankan pelajar yang tidak ditaja oleh mana-mana institusi agar menghubungi pejabat Yayasan Sarawak secepat mungkin untuk mendapatkan bantuan.

"Oleh kerana jumlah pelajar itu agak kecil, semua pelajar akan terbang ke Mesir dengan penerbangan berjadual dan bukan penerbangan sewa khas," katanya.

Sarawak mempunyai keseluruhan 67 pelajar yang menuntut di Mesir dengan 24 pelajar di bawah Yayasan Sarawak sementara selebihnya ditaja oleh JPA, MARA dan Amanah Raya. - BERNAMA

Artikel Lain