suria

Mayat Bayi Lelaki Ditemui Dalam Komuter

PELABUHAN KLANG: Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibungkus dalam plastik hitam ditemui di bawah tempat duduk gerabak hadapan komuter yang berhenti di stesen Pelabuhan Klang sini, Khamis.

Mayat bayi itu dibalut dengan selimut bercorak bunga dan turut diletakkan bersama mayat itu ialah sehelai sejadah dan surah Yasin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.15 pagi dan mayat bayi itu dipercayai dibuang ketika komuter berkenaan dalam perjalanan ke stesen Pelabuhan Klang di sini.

"Mayat bayi itu ditemui seorang tukang cuci gerabak komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika membersihkan gerabak komuter itu di stesen Pelabuhan Klang," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata komuter itu memulakan perjalanan pada pukul 5.35 pagi ke Batu Caves sebelum berpatah balik dan tiba di stesen Pelabuhan Klang pada pukul 8.15 pagi.

Mohamad berkata mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini untuk bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai atau penumpang komuter berkenaan yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Siti Khalijah Mat Zain, 37, yang menemui mayat bayi itu berkata pada mulanya beliau menyangka plastik hitam yang diletakkan di bawah tempat duduk itu ialah sampah yang ditinggalkan penumpang.

"Bagaimanapun, saya rasa tak sedap hati dan memanggil seorang lagi rakan sekerja saya...kami berdua terkejut apabila melihat ada kesan darah pada bungkusan itu.

"Apabila dilihat lebih dekat, kami nampak mayat bayi lelaki yang dibalut dengan selimut corak berbunga-bunga. Kami juga menemui sehelai sejadah dan surah Yasin yang diletakkan bersama mayat itu," katanya yang kemudian menghubungi polis. - BERNAMA

Artikel Lain