suria

Malaysia-Australia Meterai FTA Dalam Tempoh Setahun

CANBERRA: Malaysia dan Australia akan menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala Malaysia-Australia dalam tempoh setahun, selepas rundingan itu dimulakan pada 2005, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang tiba di ibu negara Australia untuk lawatan rasmi tiga hari mulai Rabu, menemui rakan sejawatannya Julia Gillard yang meminta supaya rundingan FTA disegerakan.

"Kami bersetuju supaya tempoh masa tertentu ditetap," katanya pada sidang media bersama Gillard di Pejabat Perdana Menteri di sini Khamis.

Gillard bersetuju bahawa menyegerakan rundingan FTA merupakan idea yang baik.

"Kami akan memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara tahun depan dan kami mahu melihat ia dimuktamadkan dan dimeterai sempena ulang tahun pertama lawatan ini tahun depan," kata Gillard.

Najib berkata kemajuan FTA akan menyusuli rundingan berterusan Usaha Sama Trans-Pasifik.

Beliau berharap beberapa persetujuan dicapai mengenai ketetapan usaha sama sebelum mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik berlangsung pada November.

Najib berkata aliran perdagangan dengan Australia boleh dipertingkat.

"Jumlah dagangan kini sekitar US$10 bilion... ia tahap yang baik, namun kami yakin ia boleh ditingkatkan lagi," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Lain