suria

Malaysia Digesa Fleksibel Luluskan Permohonan Visa Kepada Rakyat Afghanistan

KUALA LUMPUR: Malaysia diminta agar lebih fleksibel dalam meluluskan permohonan visa kepada rakyat Afghanistan yang merancang untuk melawat negara ini.

Bekas diplomat Afghanistan, Abdullah Shariat Kakar berkata rakyat Afghanistan mula menghadapi kesukaran dalam mendapatkan visa untuk ke Malaysia sejak dua tahun lepas tetapi alasan mengenai kesulitan itu tidak diberikan.

Beliau berkata ramai peniaga Afghanistan berhasrat untuk mengadakan perniagaan dan mewujdukan rangkaian perdagangan di Malaysia, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana mereka terus menghadapi kesukaran dalam mendapatkan visa untuk ke negara ini.

Abdullah, yang pernah berkhidmat di sini dan berada di ibu negara baru-baru ini, memberitahu bahawa ramai juga rakyat Afghanistan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran mereka di Malaysia, tetapi menghadapi masalah yang sama.

"Masyarakat perniagaan Afghanistan dan yang lain telah menyuarakan perhatian mereka mengenai ini melalui saya. Tujuan mereka melawat Malaysia adalah berasas."

"Kita tidak terbabit dengan sebarang aktiviti jenayah di Malaysia. Jadi kita tidak tahu kenapa kita menghadapi kesukaran dalam meluluskan visa," kata beliau.

Abdullah berkata kini dianggarkan ada kira-kira 500 rakyat Afghanistan di Malaysia, yang kebanyakan pelajar dan anggota keluarga mereka serta ahli akademik, dan mereka tinggal dengan aman tanpa menimbulkan sebarang masalah di negara ini.

Beliau berkata ramai rakyat Afghanistan yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini merupakan tokoh perniagaan ulung, profesional dan ahli politik ketika kembali ke tanah air, sambil menambah mereka mewakili Malaysia dalam cara terbaik mungkin.

"Dalam era pasca perang, Afghanistan berminat untuk mencontohi Malaysia dalam banyak aspek pembangunan," kata beliau.

Abdullah berkata sebelum ini, Kedutaan Afghanistan di sini menerima laporan bahawa terdapat individu atau kumpulan mendakwa mewakili rakyat Afghanistan dan memungut derma.

"Tetapi isu ini telah diperjelaskan pada ketika itu...bahawa mereka yang terbabit dengan aktiviti meminta derma dengan menggunakan nama rakyat Afghanistan sebenarnya datang dari negara-negara Islam lain dan dihantar oleh pertubuhan tertentu."

"Kita pada hakikatnya malahan telah meminta pihak berkuasa Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap mereka dan untuk mengatasi aktiviti ini selama-lamanya," kata Abdullah. - BERNAMA

Artikel Lain