suria

Saham Proton Naik Tapi Syarikat Penerbangan Menurun

KUALA LUMPUR: Saham Proton Holdings Bhd meningkat, selepas turun 12.5 peratus selama dua hari, selepas syarikat itu menandatangani memorandum persefahaman dengan Nissan Motor Co Ltd bagi mengkaji potensi bidang kerjasama.

Sehingga jam 10.14 pagi, saham Proton meningkat 0.56 peratus atau 2.0 sen kepada RM3.60.

Kerjasama itu termasuk potensi penggunaan platform dan barisan pemasangan Nissan.

HwangDBS Vickers Research Sdn Bhd berkata langkah itu adalah sebahagian daripada inisiatif Proton mengembangkan segmen pasaran semasanya, dengan menyasarkan kebanyakannya segmen B dan C, yang merupakan kereta Proton Savvy 1.2 liter hingga Proton Perdana dan Proton Inspira 2.0 liter.

"Kami percaya kerjasama dengan Nissan boleh membawa maksud satu lagi "Inspira" seperti model yang ditukar nama bagi diperkenalkan di dalam tempoh jangka sederhana," katanya dalam satu nota penyelidikan pada Rabu.

HwangDBS berkata langkah itu boleh diterima akal bagi membolehkan Proton mengembangkan segmen pasarannya dan melancarkan model baharu dengan perbelanjaan modal dan kemungkinan tempoh pembangunan lebih rendah, jika dilihat kebanyakan fokus dan pembiayaannya ditumpukan kepada pelan penstrukturan lima tahun Lotus Group.

Sementara itu saham syarikat penerbangan AirAsia Bhd dan MAS pula menurun berikutan kebimbangan terhadap kos bahan api akan meningkat apabila harga minyak kekal di atas paras AS$100 setong.

Sehingga jam 10.40 pagi, saham AirAsia turun 5.0 sen kepada RM2.51 manakala saham MAS turun 2.0 sen kepada RM1.84.

HwangDBS Vickers Research Sdn Bhd berkata, ada kemungkinan pendapatan AirAsia dan MAS turut merosot jika bahan api jet melonjak kepada AS$129 setong, iaitu 24 peratus lebih tinggi daripada unjuran AS$104 setong masing-masing bagi tahun ini.

"Harga bahan api yang tinggi yang berterusan boleh mencetuskan kenaikan tambahan dan atau surcaj bahan api dan ini boleh memberi kesan faktor muatan, terutama sekali bagi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh," katanya dalam satu nota penyelidikan, Rabu.

Kesan itu kemungkinan dikurangkan oleh langkah para pengembara beralih ke penerbangan jarak dekat yang lebih murah seperti yang dilihat pada separuh kedua 2008 apabila AirAsia mencatatkan pertumbuhan 22 peratus tahun ke tahun di segi bilangan penumpang yang diangkut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain