suria

Pengundi Merlimau Dinasihat Waspada Hasutan Pembangkang

JASIN: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau dinasihat supaya berwaspada dengan hasutan serta taktik kotor yang digunakan oleh pembangkang dalam meraih sokongan pada pilihan raya kecil kerusi DUN itu, Ahad ini.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembangkang dilihat memperalatkan agama, sehingga ditonjolkan begitu penting, untuk mereka memenangi pilihan raya itu.

Pembangkang tidak pernah memikirkan bahawa tindakan mereka itu boleh mengundang kepada unsur perpecahan dan pergaduhan di kalangan umat Islam, katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di DUN Merlimau di Pusat Kegiatan Kemas dekat sini, pada Selasa.

"Jadi kita jangan semudah itu untuk gunakan landasan agama yang dekat dengan hati dan jiwa manusia ini dipersendakan untuk kepentingan ideologi politik kita.

"Kita harus lihat bukan hanya di peringkat dunia bahkan di akhirat ukurannya akan ada," kata Shafie yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Selain itu, Shafie berkata pembohongan pembangkang termasuk menawarkan penurunan harga minyak sekiranya mereka memerintah adalah sesuatu yang tidak relevan.

Beliau berkata perkara seperti itu tidak mungkin boleh berlaku memandangkan hasil kerajaan yang ada perlu diagihkan untuk kegunaan sektor-sektor lain bagi kebaikan rakyat.

"Kalau semua hasil yang kita peroleh daripada minyak ini, kita tampung untuk bagi harga minyak yang rendah ataupun kurangkan serendah-rendahnya.

"Maka ia memerlukan peruntukan kewangan lain yang perlu untuk kita belanja... bukan senang," katanya, dan menambah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim patut turunkan harga minyak ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dulu sekiranya ia boleh dilakukan.

Beliau berkata dakwaan pembangkang bahawa sistem pemilihan wakil rakyat di negara kita tidak demokratik juga adalah tidak berasas.

"Kalau kita tak demokratik taklah mereka berupaya memerintah di beberapa tempat ataupun jadi wakil pun, contohnya di Permatang Pauh ataupun Kelantan ataupun di tempat-tempat lain," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan Ahad ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad, 44, dan calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, daripada BN pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain