suria

Pelantikan Canselor Unisel Tidak Belakangkan Sultan Selangor - Khalid

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan bahawa pelantikan Canselor Universiti Selangor (Unisel) yang baru, Raja Tan Sri Arshad Tun Raja Uda tidak membelakangkan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Sebaliknya Abdul Khalid berkata, perbincangan dengan baginda telah diadakan pada September tahun lalu.

“Baginda sudah dimaklumkan mengenai perkara ini sudah lama, selepas hari raya tahun lepas. Kita tidak ada polemik mengenainya, jadi kita biarkan saja keadaan itu.

“Kita menggunakan masa yang sesuai, sebaik sahaja isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tamat tempoh sebagai Canselor selepas itu barulah kita buat pelantikan baru,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, perkara itu terjadi disebabkan kerajaan negeri terlalu terbuka dan soal siapa yang akan dipilih sebagai Canselor Unisel bukan satu rahsia.

“Yang sebenarnya oleh kerana kita terlalu terbuka. Bukan satu rahsia lagi soal siapa hendak jadi Canselor dan Pro Canselor kerana perkara ini telah dibincangkan oleh ahli Lembaga Pengarah Unisel.

“Saya ingat polemik siapa nak jadi Canselor Unisel bermula selepas pengunduran Rosmah sangat banyak. Oleh sebab itu perkara ini jadi biasa,” katanya.

Justeru, beliau berkata ada kemungkinan perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Unisel sendiri.

Hari ini sebuah akhbar tempatan menyifatkan tindakan kerajaan negeri Selangor mengumumkan mengenai pelantikan Raja Arshad sebagai Canselor Unisel dua minggu lalu sebagai membelakangkan baginda.

Semalam selepas menyampaikan watikah pelantikan Canselor Unisel kepada Raja Arshad, Sultan Selangor menitahkan semua pihak agar mematuhi peruntukan perlembagaan Unisel yang menetapkan pemilihan dan pelantikan canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda.

Dalam perlembagaan Unisel, titah baginda, dinyatakan dengan jelas bahawa canselor universiti itu ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik oleh baginda.

“Justeru adalah tanggungjawab beta untuk menggunakan segala kebijaksanaan beta untuk memilih mereka yang beta percayai, sesuai dan berpotensi untuk mewakili beta menerajui Unisel ke arah kemajuan serta kecemerlangan.

"Oleh yang demikian, beta berkenan menitahkan kepada seluruh rakyat Selangor agar perkara ini tidak disalahertikan dan dipolitikkan,” titah baginda.

Pada 14 Februari lalu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali mengumumkan pelantikan Raja Arshad sebagai Canselor Unisel menggantikan isteri Perdana Menteri yang menamatkan khidmatnya pada 5 Februari lalu.

Tindakan Halimah mengumumkan pelantikan Raja Arshad yang juga Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd. itu dilihat seolah-olah membelakangi bidang kuasa Sultan Selangor dalam soal itu.

Ini kerana, meskipun pemilihan Raja Arshad telah mendapat perkenan Sultan Selangor, pelantikannya harus dibuat oleh baginda berdasarkan perlembagaan Unisel.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata beliau belum membuat keputusan mengenai rombakan Exco Kerajaan Negeri seperti mana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

“Bila saya dah susun baru saya beritahu. Tak ada dakwaan, saudara ini buat spekulasi terlalu jauh.

“Berita perlu sensasi saya tahu tapi ia juga ada etika yang perlu dipatuhi. Pentadbiran kerajaan negeri mantap,” katanya.

Baru-baru ini ada khabar angin melaporkan bahawa Abdul Khalid akan menggugurkan Datuk Dr Hassan Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri dalam rombakan yang akan dibuat dalam masa terdekat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain