suria

Imigresen N. Sembilan Tumpaskan Kegiatan Palsukan Permit Kerja

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan berjaya menumpaskan kegiatan pemalsuan permit kerja jabatan itu, selepas menahan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah rumah teres di Taman Cempaka, Senawang, di sini, Selasa.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Ahmad Shakirin Zainal Abidin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pihaknya turut menahan 13 warga Indonesia yang berada di rumah tersebut dipercayai pelanggan lelaki terbabit.

"Pemeriksaan terhadap lelaki rakyat Indonesia berumur 39 tahun yang menjadi dalang kegiatan itu didapati memiliki kad pengenalan pemastautin tetap dipercayai palsu. Dia didapati mencetak pelekat permit kerja palsu Jabatan Imigresen dengan mengenakan bayaran RM250 untuk setiap pelekat palsu itu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas 148 pasport Indonesia yang dalam proses dicetak dengan permit kerja palsu, sebuah mesin cetak, sebuah komputer riba, enam cop Jabatan Imigresen Indonesia dan Malaysia serta wang tunai lebih RM2,000.

Mengulas mengenai 13 warga Indonesia yang ditahan, Ahmad Shakirin berkata mereka terdiri lapan lelaki, lima wanita dan seorang bayi perempuan berusia lima bulan.

"Siasatan awal mendapati 13 rakyat Indonesia ini mempunyai pasport Indonesia yang sah tapi mereka menunggu untuk pelekat permit kerja palsu untuk dicetak untuk membolehkan mereka bekerja di negara ini.

"Mereka masuk ke negara ini secara sah sebagai pelancong pada tahun lepas. Siasatan juga mendapati kegiatan itu baru sebulan di rumah itu. Semua mereka ini akan ditahan reman untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain