suria

PRK Kerdau: Isteri Calon BN Harap Pengundi Beri Peluang

JENGKA: Isteri calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Sharifah Farunai Syed Ahmad, 45, berharap suaminya diberi peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasan tersebut.

Sharifah Farunai berkata beliau yakin suaminya, Syed Ibrahim Syed Ahmad mampu melaksanakan tugas yang bakal diamanahkan kepadanya jika dipilih sebagai wakil rakyat di DUN Kerdau.

"Saya harap pengundi akan sokong suami saya, insyaAllah beliau boleh buat kerja," katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di Felda Jengka 22, di sini, Selasa.

Beliau yang mengikuti aktiviti kempen Syed Ibrahim sejak Sabtu lalu turut melahirkan rasa gembira apabila berpeluang menemui pengundi yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Ini pengalaman pertama ikut aktiviti begini, walaupun penat tapi saya berbangga kerana dapat bersama-sama memberi sokongan kepada suami.

"Anak-anak juga beri sokongan moral kepada bapa mereka," katanya.

Hasil perkahwinan Syed Ibrahim dan Sharifah Farunai, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu As Sayed Muhammad Al-Baqir, 15, As-Syarifah Balqis, 13, dan As Syarifah Sehah, 9.

Pada pilihan raya kecil DUN Kerdau yang akan diadakan pada Ahad depan, Syed Ibrahim ditentang calon PAS, Hassanuddin Salim yang juga Ketua Penerangan PAS Pahang.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.

Artikel Berikut

Artikel Lain