suria

PRK Kerdau: Calon PAS Akui Terima 50 Peratus Sokongan

TEMERLOH: Calon PAS, Hassanuddin Salim optimis beliau mampu mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau yang akan diadakan pada 6 Mac depan.

Mengakui sudah memperolehi kira-kira 50 peratus sokongan daripada pengundi, Ketua Penerangan PAS Pahang itu berpuas hati dengan sambutan yang diterimanya sepanjang tempoh tiga hari berkempen.

"Setakat ini kempen berjalan dengan baik, Alhamdulillah sokongan yang diterima sudah melebihi 50 peratus dan insyaAllah boleh menang," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Pasar Malam Desa Murni di sini, Isnin.

Menurut Hassanuddin, beliau sudah melawat kira-kira 70 peratus kawasan dalam DUN Kerdau untuk menemui pengundi bagi meraih sokongan.

"Alhamdulillah sudah 70 peratus kawasan saya pergi, sambutan pengundi sangat baik.

"Saya sudah bertemu dengan beberapa segmen masyarakat dan ia memberikan keyakinan kepada saya untuk menang dalam pilihan raya ini," katanya.

Ditanya mengenai rutin hariannya, Hassanuddin berkata, beliau hanya berkesempatan untuk tidur kira-kira dua jam sehari memandangkan terpaksa memenuhi jadual yang padat sejak awal pagi.

"Kehidupan macam biasa, sebagai orang politik dan ahli perniagaan saya sudah biasa.

"Tapi masa pilihan raya ini komitmen meningkat sikit, terpaksa bangun pukul 5 pagi dan tidur pukul 3 pagi. Syukur keluarga sangat memahami, isteri dan anak-anak memberi sokongan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain