suria

Karpal Singh Gagal Dalam Saman Terhadap Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh pada Selasa, gagal untuk mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini, dalam samannya terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Ahmad untuk menjawab dakwaan salah lakunya ketika menjadi peguam pengamal pada tahun 1987.

Hakim (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Aziah Ali mmembuat keputusan tersebut selepas membenarkan bantahan awal yang difailkan oleh Peguam Negara terhadap permohonan tersebut.

Beliau yang membuat keputusan itu di dalam kamar juga memerintahkan Karpal, yang juga merupakan pengerusi DAP untuk menjelaskan kos sebanyak RM10,000 yang perlu di bayar kepada Peguam Negara.

Pada penghakimannya, Aziah berkata, beliau bersetuju dengan Peguam Negara bahawa Karpal selaku pemohon telah gagal untuk memuaskan keperluan bagi perintah mandamus mengikut Seksyen 44(1) Akta Relif Khas 1950 (SRA).

"Adalah jelas tiada alasan tiada yang memerlukan penyiasatan lanjut. Saya berpuas hati bahawa permohonan ini adalah permohonan yang remeh dan menyusahkan," kata Aziah.

Sementara itu, Karpal yang ditemui di luar mahkamah berkata, beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Kronologi kes ini bermula selepas Karpal memfailkan permohonan kebenaran untuk satu semakan meminta perintah mahkamah bagi memaksa Zaki menjelaskan dakwaan salah laku berkaitan pengakuan Zaki mengenai rasuah pegawai mahkamah semasa beliau manjadi peguam pengamal.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu juga meminta agar Zaki dihadapkan kepada Tribunal Kod Etika Hakim.

Selain itu, Karpal juga meminta satu perintah mahkamah untuk menghalang Zaki sendiri daripada menentukan merit aduan yang dibuat terhadap beliau mengikut Seksyen 13 Kod Etika Hakim 2009.

Dalam permohonan, Karpal Singh berkata pihak berkuasa yang mendengar aduan terhadap Zaki adalah seorang ketua hakim yang telah bersara atau hakim mahkamah persekutuan yang telah bersara.

Artikel Berikut

Artikel Lain