suria

Chan Kong Choy Didakwa Menipu Dalam Skandal PKFZ

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy pada Isnin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dia didakwa mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Difahamkan, Chan yang berada di luar negara pulang beberapa hari laku selepas diminta oleh pihak berkuasa.

Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman membenarkan Chan diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.

Chan merupakan bekas Menteri Pengangkutan yang kedua yang didakwa berhubung skandal PKFZ selepas Tun Dr Ling Liong Sik.

Pada 29 Julai, 2010, Dr Ling mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen yang sama terhadap tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal PKFZ melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas.

Dr Ling, 67, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 Septemper 2002 dan 6 November 2002.

Dalam laporannya yang diumumkan pada November, 2009, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai PKFZ mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat Chan dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C. Phang, membabitkan isu pecah amanah.

Menurut laporan PAC itu, kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga surat aku janji yang dikeluarkan oleh Phang tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

PAC menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek PKFZ selepas projek itu dilaporkan meningkat daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion.

Berikutan itu, pada 10 Disember 2009, Phang didakwa, sebagai pengurus besar yang diamanahkan atas dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Oktober 2004 dan 5 September 2005. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain