suria

Pengundi Kerdau Tidak Perlu Wakil Rakyat Berpendidikan Agama - Tuan Ibrahim

TEMERLOH: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau tidak memerlukan seorang wakil rakyat yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang tinggi.

Sebaliknya Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masyarakat DUN Kerdau lebih memerlukan pemimpin di kalangan golongan profesional bagi memastikan pembangunan di kawasan berkenaan dapat dijalankan secara berterusan.

"Sekarang mereka cuba mainkan isu ustaz lawan ustaz, golongan agama lawan golongan agama, tapi bila kita tengok, keperluan di DUN Kerdau ini bukan (pemimpin berlatar belakang) agama.

"Keperluan dalam DUN Kerdau ialah calon profesional, calon yang mampu berdepan dengan masalah pembangunan dan kepincangan, (mereka mahu) calon begitu," katanya pada sidang media harian di markas PAS di sini, Isnin.

Beliau mengulas mengenai keputusan PAS meletakkan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim sebagai calon pada pilihan raya kecil DUN Kerdau yang merupakan seorang ahli perniagaan serta tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama.

Berbanding lawannya daripada Barisan Nasional (BN), parti itu mempertaruhkan Pegawai Khas Agama Menteri Besar Pahang yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Kerdau, Hassanuddin merupakan calon terbaik berdasarkan keperluan pengundi.

"Kalau (bangkitkan isu) calon agama, saya cadangkan supaya makmurkan dahulu masjid yang ada di sini. Bagi PAS kita pilih calon yang sesuai dan terbaik di satu-satu kawasan itu," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam bahawa PAS tidak mahu memilih beliau sebagai calon di Kerdau kerana bimbang mengenai masa depannya dalam politik sekiranya tewas, Tuan Ibrahim berkata isu berkenaan tidak timbul.

"Soal masa depan saya, bagi saya tak ada masalah kerana dalam PAS adat bertanding kalah atau menang (pemilihan parti).

"Cuma kali ini kita akan menang, kita harapkan kemenangan," katanya

Artikel Lain