suria

Pengundi DUN Kerdau Tidak Tertipu Pembohongan Pembangkang

JENGKA: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau tidak mudah tertipu dengan pembohongan dan janji-janji kosong yang cuba ditabur pembangkang sepanjang tempoh berkempen sejak Sabtu lalu.

Calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, berdasarkan maklumat daripada masyarakat setempat, mereka lebih tertarik dengan kaedah kempen BN yang menggunakan fakta tanpa memburukkan mana-mana pihak untuk kepentingan politik.

"Walaupun ada penceramah pembangkang datang bangkitkan isu yang bukan-bukan seperti menabur fitnah dan sebagainya, tapi mereka tidak menerima.

"Mereka dapat bezakan antara (kandungan) ceramah pembangkang dengan (ceramah) kerajaan yang bercakap soal fakta dan bukan janji atau pembohongan," katanya ketika ditemui sewaktu berkempen dari rumah ke rumah di Felda Jengka 22 di sini, Isnin.

Mengulas lanjut Syed Ibrahim berkata, beliau yakin penduduk di kawasan DUN Kerdau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan kerajaan BN untuk membangunkan kawasan mereka.

"Nampak sekali di kalangan masyarakat sama ada di Felda atau di kampung tradisi dalam DUN Kerdau ini mempunyai hati dan pemikiran yang ceria.

"Mereka begitu dekat dengan BN dan mereka mempunyai keyakinan yang tinggi kepada BN," katanya.

Selain itu Syed Ibrahim berkata, setelah tiga hari berkempen secara rasmi, beliau berjaya melawat kira-kita 70 peratus kawasan dalam DUN berkenaan untuk menemui pengundi.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas yang diperolehi, beliau yakin peratus sokongan kepada BN akan meningkat pada pilihan raya kecil DUN Kerdau yang akan diadakan pada Ahad depan.

"InsyaAllah (sokongan) semakin meningkat...boleh menang. Hingga kini sudah 70 peratus kawasan sudah dilawati.

"Sekarang saya nak mempertingkatkan kunjungan rumah ke rumah serta menemui penduduk di kedai-kedai kopi," katanya.

Artikel Lain