suria

Nik Aziz Terdesak Raih Sokongan Bukan Melayu

TEMERLOH: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan melakukan apa sahaja mainan politik termasuk mengakui tidak berbangga dengan bangsa sendiri semata-mata mahu meraih sokongan orang bukan Melayu supaya mengundi parti itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak mustahil Menteri Besar Kelantan itu akan mengatakan bahawa beliau tidak berbangga menjadi orang Islam sekiranya terdesak mahu mendapatkan undi masyarakat bukan Islam.

"Beliau main politik semata-mata nak dapatkan pengaruh dari kaum lain. Depan kaum lain beliau kata tak bangga jadi orang Melayu sebab nak dapatkan undi orang bukan Melayu.

"Saya percaya suatu hari nanti beliau (akan) kata tak bangga jadi orang Islam pun. Kalau nak dapatkan undi daripada bukan Islam beliau akan kata tak bangga jadi orang Islam, itulah Nik Aziz...bila-bila masa boleh berubah," katanya kepada media selepas merasmikan bangunan koperasi peserta-peserta Felcra Rumpun Makmur Temerloh Berhad dan Program Pemodenan Kedai Runcit (TUKAR) di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz semalam yang mengatakan bahawa beliau tidak minta untuk dilahirkan sebagai seorang berbangsa Melayu.

Beliau juga berkata adalah secara kebetulan beliau lahir di negara ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian sebagai reaksi balas kepada kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta beliau bersyukur dilahirkan sebagai bangsa Melayu yang tentunya beragama Islam.

Artikel Lain