suria

Kereta Api Bukit Bendera Diserah Kepada Perbadanan Bukit Bendera

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pelancongan akan menyerahkan perkhidmatan Kereta Api Bukit Bendera yang berusia 87 tahun kepada Perbadanan Bukit Bendera pada 19 Mac ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, setelah penyerahan itu dilakukan segala urusan penyelenggaraannya akan dilakukan sepenuhnya oleh pihak perbadanan tersebut dan kerajaan negeri.

"Sebenarnya kita mahu serahkan lebih awal lagi tetapi pihak perbadanan minta dilanjutkan lagi dan kementerian tetapkan 19 Mac ini untuk penyerahan semula," katanya kepada pemberita.

Beliau menghadiri majlis pecah tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Beng Teik di sini, Isnin.

Perkhidmatan Kereta Api Bukit Bendera dihentikan operasinya seketika bermula 22 Februari tahun lepas untuk kerja-kerja menaik taraf yang melibatkan kos sebanyak RM68.8 juta.

Keretapi jenis furnikular yang ditarik dengan kabel yang digunakan sejak 1923 itu turut digantikan dengan yang menggunakan tenaga elektrik dengan koc berhawa dingin dan boleh membawa sehingga 50 penumpang serta mengambil masa 10 minit untuk perjalanan sehala.

"Penumpang juga boleh sampai ke puncak bukit tanpa perlu menukar tren di stesen pertengahan seperti sebelum ini," kata Dr Ng.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pakar botani, Datuk Seri Lim Chong Keat yang membangunkan sebuah taman di puncak Bukit Bendera yang mampu menarik pelancong. - BERNAMA

Artikel Lain