suria

Jangan Pandang Rendah Calon Bukan 'Heavyweight" PAS - Najib

JENGKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyeru jentera parti itu bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau agar tidak memandang rendah kekuatan parti lawan.

Perdana Menteri berkata, BN tidak boleh memandang ringan keupayaan PAS walaupun parti itu menurunkan calon yang disifatkan sebagai bukan 'heavyweight' bertanding di kawasan berkenaan.

"Saya fikir mereka ada perkiraan, kalau mereka letak calon seperti (Naib Presiden PAS) Datuk Tuan Ibrahim (Tuan Man), beliau sudah kalah dua kali dan kalau kalah tiga kali... ia berat bagi beliau.

"Selain itu mereka nak letakan Tuan Ibrahim dalam hierarki akan datang dalam kepimpinan PAS.

"Jadi mereka letakkan calon yang bukan 'heavyweight' tapi kita tak boleh memandang ringan. Walaupun mereka akan arahkan penyokong mereka untuk sokong," katanya di sini, Ahad.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau yang akan diadakan pada 6 Mac ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon BN dan PAS.

BN diwakili Naib Ketua Bahagian Umno Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, manakala PAS mempertaruhkan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim, 43.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Presiden Umno berkata, pembangkang hanya mempunyai dua pertimbangan apabila menyertai pilihan raya kecil ini.

"Bila mereka masuk dalam pilihan raya kecil, mereka nak menang, bila mereka meletakkan calon, tentu sekali mereka fikir bahawa calon mereka itu ada harapan.

"Ataupun mereka meletakkan calon untuk menunjukkan bahawa sebenarnya BN tak kuat dalam kawasan ini.

"Jadi kita mesti anggap ini sebagai tentangan yang biasa dan kita akan lawan ikut kemampuan kita untuk meraih sebanyak mungkin sokongan kepada BN," katanya.

Artikel Lain