suria

Dasar Pembangkang Tidak Mampu Perkasa Bidang Pendidikan - Khaled

JASIN: Dasar yang dilaksanakan pakatan pembangkang di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan tidak mampu memperkasa bidang pendidikan di negeri berkenaan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ia berbeza dengan dasar cemerlang kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pembangunan pendidikan yang mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan.

"Kerajaan Barisan Nasional mempunyai dasar yang tepat dan berkesan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Kolej Komuniti Negeri Melaka di Merlimau pada Isnin.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu juga berkata dasar kerajaan dilaksanakan secara menyeluruh sehingga rakyat dapat meningkatkan diri mereka menjadi masyarakat yang berilmu dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata kerajaan tidak mengamalkan sikap 'pilih bulu' dan tetap menghulurkan bantuan kepada rakyat di negeri yang dipimpin pakatan pembangkang untuk menimba ilmu tanpa mengira fahaman politik mereka.

Katanya, masyarakat berilmu mampu menilai perkara tersebut dan sehingga kini, tidak ada dasar yang dilaksanakan pembangkang di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan mempunyai kesan signifikan terhadap pendidikan di negeri berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain