suria

SPR: Janji Pilihan Raya Bukan Rasuah

JASIN: Siri ucapan pemimpin kerajaan yang mengandungi pelbagai janji membawa pembangunan pada mana-mana kawasan semasa kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ia bukan rasuah.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tindakan pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di semua negeri yang dikuasai mereka itu merupakan apa yang telah ditetapkan dalam belanjawan masing-masing.

"Memang biasa pemimpin tak kira dari BN atau Pakatan Rakyat berjanji dalam ucapan-ucapan mereka, tapi itu bukan kesalahan seperti rasuah kerana ia telah ditetapkan dalam belanjawan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Penamaan Calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Politeknik Merlimau di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai janji-janji yang diucapkan oleh pemimpin-pemimpin parti yang bertanding kepada pengundi jika mereka dipilih pada pilihan raya yang diadakan termasuk pada pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau yang diadakan serentak pada 6 Mac ini.

Hadir sama ialah Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lyle.

Abdul Aziz menjelaskan, jika benar-benar berlaku rasuah sepanjang kempen pilihan raya kecil ini, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sentiasa melakukan pemantau akan bertindak.

Katanya, pegawai-pegawai SPRM telah ditugaskan pada setiap kali PRK diadakan bagi memastikan setiap pemilihan diadakan dalam keadaan bersih dari gejala rasuah. Dalam pada itu, beliau menegaskan, semua penyokong parti dilarang menggunakan pembesar suara dan sebarang alat muzik pada hari penamaan calon Sabtu.

Katanya, perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau kecewa, walaupun peringatan sering diberikan setiap kali pilihan raya diadakan, kesalahan itu masih berlaku.

"Kejadian penyokong parti politik membawa alat pembesar suara masih berlaku pada PRK Tenang di Johor. Kita rampas bateri mereka keluarkan bateri baru," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan para penyokong supaya tidak membuat sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam pada hari penamaan calon.

"Saya berharap para pemimpin parti akan menasihati penyokong masing-masing supaya mematuhi undang-undang dan proses penamaan calon berjalan lancar, selamat dan tenang," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz memberitahu sebanyak enam set borang calon telah dijual kepada kedua-dua pati BN dan PAS.

Katanya, pusat pencalonan akan dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi.

"Selepas itu tempoh bantahan selama sejam akan bermula sebelum calon-calon yang layak bertanding akan diumumkan kira-kira pukul 12 tengah hari," ujarnya.

Artikel Lain